Tafsir Al-Tibyan Bakal Diperluas Ke Institusi Pendidikan, Kerajaan Negeri

CYBERJAYA: Yayasan Permata Ummah merancang memperluas penghayatan Tafsir Al-Tibyan menerusi pelbagai institusi pendidikan dan entiti kerajaan negeri bagi memastikan kandungan al-Quran dapat difahami serta diamalkan dalam kehidupan masyarakat.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penerbitan Tafsir Al-Tibyan yang menghimpunkan keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam 15 jilid merupakan fasa pertama kepada perancangan lebih besar untuk memperkasakan pembelajaran dan penghayatan kitab suci itu.

Menurutnya, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuk pembangunan modul pendidikan, bahan pembelajaran, program pengajian, seminar, bengkel dan sesi wacana.

“Matlamat yang lebih besar ialah bagaimana ilmu yang terkandung di dalamnya dapat sampai kepada masyarakat dalam bentuk yang mudah difahami, tersusun dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Kita tidak mahu Tafsir Al-Tibyan sekadar menjadi sebuah karya yang berjaya diterbitkan, tetapi tidak dibaca, tidak dikaji dan tidak dihayati,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini pada Sabtu.

Majlis pelancaran Tafsir Al-Tibyan itu dirasmikan penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang juga pengarang karya berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, tafsir itu mempunyai sejarah panjang hasil pengajian dan kuliah tafsir Abdul Hadi di Masjid Rusila, Marang, yang bermula sejak 1976.

Menurutnya, pengajian tersebut merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran sebelum bahan-bahannya dikumpulkan, disusun, disunting dan melalui proses semakan serta pengurusan penerbitan.

Beliau berkata, usaha berkenaan akhirnya berjaya menghasilkan 15 jilid Tafsir Al-Tibyan yang merangkumi keseluruhan 30 juzuk al-Quran serta mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelasnya, penerbitan karya itu bukan sekadar bertujuan mendokumentasikan ilmu, sebaliknya memastikan khazanah pengajian al-Quran yang disampaikan selama puluhan tahun dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Kita mahu al-Quran atau Tafsir Al-Tibyan ini menjadi seperti pohon besar di tengah padang, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar, dahannya tempat bergantung dan daunnya tempat berlindung.

“Ertinya, menjadi tempat rujukan masyarakat, terutamanya dari segi akidah, ibadah dan akhlak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan Permata Ummah turut merancang melaksanakan projek Misbahul Muttaqin bagi menghimpunkan dan mendokumentasikan pengajian kitab Riyadus Solihin yang disampaikan Abdul Hadi pada setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila sejak lebih sedekad lalu.

Menurutnya, projek itu diharap dapat menjadi satu lagi usaha memelihara khazanah pengajian hadis dan akhlak Rasulullah SAW untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Kita mahu supaya ilmu yang disampaikan dalam majlis-majlis pengajian tidak terhenti apabila majlis berakhir. Sebaliknya, ia dapat dirakam, dihimpunkan, disusun dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak yang mempunyai kecintaan terhadap ilmu al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW supaya terus menyokong usaha penerbitan serta pendidikan berkenaan melalui sumbangan tenaga, kepakaran, kerjasama dan penyebaran ilmu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Masjid Rusila akan menganjurkan program sempena 50 tahun kuliah Abdul Hadi di masjid berkenaan pada 27 November depan.

Beliau berharap Tafsir Al-Tibyan menjadi sedekah jariah yang berterusan manfaatnya, selain menjadi rujukan penuntut ilmu, panduan masyarakat dan sebahagian daripada khazanah ilmu Islam di alam Melayu.

BBerkaitan

Latest articles