KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap kes berkaitan paparan Jalur Gemilang berdasarkan laporan polis yang diterima tanpa mengambil kira latar belakang atau status politik individu terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, prinsip *No One Is Above The Law* dan *All Are Equal In The Eyes Of Law* seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan terpakai dalam setiap siasatan.
Menurutnya, PDRM komited menangani isu yang boleh mencetuskan kegentaran awam, menggugat keamanan negara dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Berdasarkan prinsip ini, semua individu yang melakukan kesalahan akan disiasat tanpa mengambil kira latar belakang atau status politik masing-masing.
“Bagi maksud ini, siasatan akan dijalankan berdasarkan laporan polis yang diterima dengan menekankan aspek siasatan yang pantas dan berkualiti agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta penjelasan mengapa rakyat biasa direman dan menjalani ujian air kencing berhubung kesalahan paparan Jalur Gemilang, sedangkan tiada tangkapan terhadap MCA Perak, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Exco Kerajaan Negeri Johor bagi insiden berkaitan, selain sama ada tindakan polis dipengaruhi status pihak terbabit.
Mengulas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di pejabat MCA Perak pada 28 Ogos 2026, Saifuddin berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hadir pada hari sama untuk merakam percakapan dan menjalankan siasatan.
Menurutnya, pihak pejabat MCA Perak memberikan penjelasan berhubung insiden itu, manakala tindakan segera diambil bagi membetulkan kesilapan berkenaan.
Individu yang bertanggungjawab turut melahirkan kekesalan dan meletakkan jawatan, sementara Pengerusi MCA Perak memohon ampun daripada Sultan Perak serta meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Bagi insiden Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, Terengganu, beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada kesilapan teknikal dan faktor cuaca, bukannya perbuatan khianat atau sabotaj.
Katanya, bendera gergasi berkenaan dipasang dengan betul pada siang 7 Ogos 2026, namun kepingan bulan dan bintang yang dijahit secara berasingan tercabut akibat ribut kencang pada malam kejadian.
“MBKT kemudian menurunkan bendera rosak itu dan menggantikannya dengan bendera baharu selepas menerima aduan, selain menjalankan siasatan dalaman,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan tiada laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan.
Sementara itu, bagi kes melibatkan Exco Kerajaan Negeri Johor, grafik Jalur Gemilang yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) memaparkan bintang dengan 18 bucu berbanding 14 bucu yang sepatutnya.
Beliau berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.










