11 Pegawai Imigresen Ditahan, 1,306 PLKS Diluluskan Secara Tidak Sah

KUALA LUMPUR: Seramai 11 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) sehingga membolehkan 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) diluluskan secara tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan itu dibuat susulan Op Crack, iaitu operasi bersepadu hasil kerjasama dan perkongsian risikan antara JIM dengan SPRM.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan membabitkan permohonan dan kelulusan PLKS secara tidak sah melalui penggodaman sistem imigresen.

“Kementerian Dalam Negeri memandang serius perkara ini dan JIM telah mengambil tindakan segera dengan menukarkan pegawai yang terlibat ke unit berlainan sementara proses siasatan berjalan.

“Langkah ini merupakan tindakan awal bagi memastikan pegawai berkenaan tidak terlibat dengan tugas berkaitan sepanjang tempoh siasatan serta membolehkan proses siasatan dilaksanakan secara telus dan tanpa gangguan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan mengenai tindakan tegas terhadap pegawai Imigresen yang bersubahat menggodam MyIMMs berkaitan proses permohonan dan kelulusan PLKS secara tidak sah sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta.

Saifuddin berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan SPRM mengikut Seksyen 16(a) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Menurutnya, JIM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi memastikan siasatan dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Beliau berkata, tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit akan dimulakan sebaik sahaja laporan lengkap hasil siasatan SPRM diterima.

Katanya, tindakan itu akan dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk hukuman berat seperti dibuang kerja, tertakluk kepada fakta kes, keterangan yang dikemukakan dan keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib.

“Kementerian ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa, penglibatan dalam aktiviti yang menjejaskan keselamatan sistem atau pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati terlibat berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles