KUALA LUMPUR: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih berdaya maju tetapi berdepan masalah rekod kredit turut berpeluang mendapatkan pembiayaan menerusi beberapa inisiatif agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, antara inisiatif disediakan termasuk akses pembiayaan alternatif, penstrukturan semula pembiayaan sedia ada serta mekanisme rayuan bagi permohonan yang tidak berjaya.
Menurutnya, KUSKOP melalui agensi pembiaya di bawahnya komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi menyokong pertumbuhan PMKS menerusi strategi ABCD, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
“Dalam hal ini, KUSKOP terus memperluaskan akses kepada pembiayaan yang mudah, cepat dan bersasar kepada usahawan yang memerlukan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta penjelasan sama ada sebahagian daripada RM15 bilion pembiayaan kepada PMKS akan disasarkan kepada perusahaan yang masih berdaya maju tetapi terjejas rekod kredit, sekali gus sukar mendapatkan pembiayaan baharu, serta mekanisme bagi memberi mereka peluang kedua.
Sim berkata, menerusi inisiatif PowerUp 10K, KUSKOP menyediakan komitmen pembiayaan berjumlah RM15 bilion bagi 2026.
Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak RM10 bilion pembiayaan diluluskan, sekali gus memanfaatkan lebih 270,000 usahawan dan koperasi di seluruh negara.
Pembiayaan itu bertujuan membantu mengurangkan tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi perniagaan serta menyokong pertumbuhan perusahaan.
Menurutnya, agensi pembiaya secara umumnya mengambil kira kedudukan kewangan semasa, keupayaan menjana aliran tunai, daya maju perniagaan dan keupayaan pembayaran balik sebelum meluluskan permohonan, tertakluk kepada syarat serta kriteria ditetapkan.
Dalam pada itu, SME Corp. Malaysia menyediakan akses pembiayaan alternatif menerusi platform peer-to-peer (P2P), khususnya kepada PMKS yang menghadapi kesukaran atau tidak memenuhi syarat pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional.
Inisiatif itu dilaksanakan melalui perantara kewangan berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi membantu perusahaan mendapatkan modal kerja untuk pengembangan dan pertumbuhan perniagaan, tertakluk kepada penilaian serta kriteria kelayakan.
TEKUN Nasional pula bersedia berunding dengan usahawan sedia ada yang menghadapi kesukaran bagi penstrukturan semula pembiayaan, sekali gus membantu meringankan beban dan memastikan kelangsungan perniagaan.
Bank Rakyat turut berusaha memperluas akses kewangan kepada PMKS berpotensi tinggi, termasuk memberi peluang kedua kepada perusahaan yang berdepan cabaran rekod kredit lampau.
Selain pembiayaan, sokongan pembangunan kapasiti dan bimbingan perniagaan turut disediakan bagi meningkatkan daya tahan serta kebolehbankan usahawan.
Sementara itu, SME Bank menyediakan kemudahan pembiayaan yang disokong skim jaminan seperti Skim Jaminan Kerajaan (SJPP), selain mekanisme rayuan bagi permohonan pembiayaan yang tidak berjaya untuk pertimbangan selanjutnya.










