KUALA LUMPUR: Seramai enam warga Myanmar dituduh di mahkamah selepas ditangkap berhubung satu kes pemalsuan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang direkodkan di Kuala Lumpur.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), hanya satu kes pemalsuan kad UNHCR direkodkan setakat ini.
Menurutnya, kad UNHCR dikeluarkan oleh pihak UNHCR tanpa penglibatan kerajaan Malaysia dan berfungsi sebagai dokumen pengenalan bagi individu yang didaftarkan sebagai pelarian atau pemohon suaka.
“Kad tersebut bukan merupakan dokumen yang dikeluarkan di bawah mana-mana peruntukan perundangan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia.
“Berhubung penipuan atau pemalsuan kad UNHCR, pengesahan ketulenan kad dan maklumat pemegangnya perlu dibuat dengan merujuk kepada rekod pihak UNHCR selaku pengeluar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta jumlah kes penipuan kad UNHCR direkodkan di Malaysia serta tindakan terhadap individu yang ditangkap kerana melakukan kesalahan berkenaan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 (Semakan 2023) bagi memperkukuh pengurusan individu yang mengaku sebagai pelarian.
Menerusi program itu, kerajaan mengendalikan sendiri proses pendaftaran, saringan dan penentuan status pelarian, termasuk pengesahan identiti, perekodan data biometrik, tapisan keselamatan serta temu duga.
Menurutnya, pemilikan kad UNHCR tidak secara automatik melayakkan seseorang memperoleh DPP kerana setiap individu perlu melalui proses penilaian yang ditetapkan kerajaan.
Hanya individu yang disahkan layak akan diberikan dokumen berkenaan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Sementara itu, bagi penguatkuasaan kesalahan imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 53,318 operasi di seluruh negara bagi tempoh 2025 hingga Ogos 2026.
Saifuddin berkata, sebanyak 659,191 pendatang asing tanpa izin (PATI) diperiksa menerusi operasi berkenaan, dengan 159,232 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan peraturan berkaitan.
Dalam tempoh sama, seramai 6,099 majikan turut dikenakan tindakan kerana didapati menggaji atau melindungi PATI tanpa kebenaran sah.
Antara kesalahan imigresen yang direkodkan termasuk tidak memiliki pas atau permit sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas atau permit.
Beliau berkata, tindakan selanjutnya diambil berdasarkan jenis dan fakta kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.










