KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,743.15 tan metrik buangan bateri di bawah kod SW103 dijana di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025, berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, jumlah berkenaan merangkumi buangan bateri yang dikelaskan di bawah kod tersebut dan bukan khusus kepada bateri kenderaan elektrik (EV) sahaja.
Menurutnya, pengesahan lanjut terhadap rekod pengurusan buangan terjadual diperlukan bagi mengenal pasti jumlah khusus bateri EV yang telah dilupuskan atau dikitar semula bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta maklumat mengenai jumlah bateri EV yang telah dilupuskan atau dikitar semula dalam tempoh berkenaan.
Dalam jawapan sama, Arthur berkata, mekanisme mandatori yang mewajibkan pengeluar dan pengimport EV mengambil semula serta menanggung kos pengurusan bateri selepas tamat hayat masih belum ditetapkan.
Menurutnya, pelaksanaan prinsip Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (Extended Producer Responsibility – EPR) bagi bateri EV memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan, tanggungjawab pengeluar dan pengimport serta mekanisme pembiayaan.
Katanya, perkara itu turut memerlukan penyelarasan dasar antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Kerajaan telah menggariskan hala tuju pelaksanaan prinsip EPR melalui Kerangka Dasar Ekonomi Kitaran bagi Sektor Pembuatan Malaysia yang diterajui MITI.
“Kerangka ini bertujuan memperluas tanggungjawab pengeluar terhadap pengurusan produk selepas tamat hayat, termasuk aspek pengumpulan, penggunaan semula, pengilangan semula dan kitar semula,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, bateri EV yang menjadi buangan terjadual dikawal di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, khususnya kod SW103.
Menurutnya, penjana buangan bertanggungjawab memastikan bateri berkenaan dikendalikan, disimpan dan dihantar ke premis yang dibenarkan mengikut keperluan undang-undang.
Sehingga 4 Mac 2026, terdapat tujuh fasiliti pemerolehan kembali luar tapak bagi buangan terjadual kod SW103 yang beroperasi di Kedah, Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Kemudahan itu menyokong aktiviti pemerolehan kembali bahan bernilai daripada bateri terpakai, termasuk litium, nikel dan kobalt.
Selain itu, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedang membangunkan standard MS 2818: Battery Passport for Electrified Vehicle (General Requirements).
Arthur berkata, inisiatif berkenaan membolehkan identiti, sejarah penggunaan dan kitar hayat bateri direkodkan serta dikesan secara digital bagi menyokong pengurusan bateri yang lebih sistematik.
Pendekatan itu juga dapat meningkatkan ketelusan pengurusan bateri serta mengurangkan risiko pelupusan secara tidak terkawal, di samping menyokong penggunaan semula dan kitar semula.
Beliau berkata, NRES komited menyokong pembangunan industri automotif negara yang mampan dengan memastikan kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.










