KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan memperkenalkan mekanisme senarai hitam terhadap syarikat dan pengimport yang berulang kali melakukan kesalahan berkaitan sisa elektronik (e-waste) haram menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang meneliti pindaan akta berkenaan bagi Fasa 2(b) untuk memperkukuh tadbir urus alam sekitar dan penguatkuasaan.
Menurutnya, penelitian itu turut merangkumi usaha menangani cabaran baharu termasuk jenayah alam sekitar dan pengimportan e-waste secara haram.
Beliau berkata, cadangan memperkukuh tindakan terhadap pesalah berulang, termasuk melalui mekanisme senarai hitam, akan diteliti dengan mengambil kira kesesuaian peruntukan undang-undang serta bidang kuasa agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Kementerian menyambut baik cadangan Ahli Yang Berhormat untuk memperkenalkan peruntukan khusus bagi menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport yang berulang kali melakukan kesalahan berkaitan e-waste haram,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta penjelasan mengenai cadangan pindaan Akta 127 bagi memasukkan peruntukan khusus untuk menyenaraihitamkan syarikat dan pengimport yang berulang kali melanggar undang-undang berkaitan pemprosesan serta pengimportan e-waste haram.
Dalam pada itu, Arthur berkata, kerajaan terus memperkukuh penguatkuasaan menerusi larangan mutlak pengimportan e-waste di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April 2026.
Menurutnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut memperketat kawalan di pintu masuk negara, termasuk membatalkan lesen ejen penghantaran dan menyenaraihitamkan pihak yang terlibat dalam pengisytiharan palsu.
Katanya, penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu menerusi kerjasama JAS, JKDM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), SIRIM serta agensi berkaitan.
Langkah itu merangkumi pengukuhan kawalan di pintu masuk bagi mengesan penyeludupan e-waste dan pengisytiharan palsu dalam dokumen import, operasi terhadap premis pemprosesan haram serta tindakan memulangkan sisa elektronik ke negara asal selaras dengan undang-undang dan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel.
Berdasarkan rekod penguatkuasaan bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 1,241 kontena diperiksa oleh agensi berkaitan, dengan 701 kontena didapati mengandungi e-waste dan telah ditahan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 428 kontena berjaya dipulangkan semula ke negara asal mengikut prosedur ditetapkan.
Arthur berkata, kegiatan pengimportan dan pemprosesan e-waste haram membabitkan rantaian aktiviti kompleks yang merentasi bidang kuasa pelbagai kementerian dan agensi.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan bertanggungjawab terhadap aspek operasi perkapalan dan pelabuhan, manakala AKPS serta JKDM memainkan peranan dalam kawalan kemasukan kontena dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah pula berperanan menangani premis serta kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa kelulusan.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara (Whole of Nation) menerusi kerjasama dan penguatkuasaan bersepadu bagi menangani keseluruhan rantaian aktiviti haram, bermula daripada pengimportan, pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan hingga pelupusan.
Pendekatan itu bertujuan memutuskan rantaian permintaan dan penawaran e-waste haram serta memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan sisa buangan dari negara luar.










