14.2 Juta Rakyat Malaysia Daftar MyDigital ID Setakat 7 Oktober

KUALA LUMPUR: Seramai 14.2 juta rakyat Malaysia telah mendaftar MyDigital ID setakat 7 Oktober 2026, dengan platform identiti digital itu merekodkan sebanyak 82.75 juta transaksi log masuk secara kumulatif sejak 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan MyDigital ID ketika ini mencatatkan lebih 200,000 transaksi sehari, didorong peluasan integrasinya dengan lebih 200 aplikasi dan perkhidmatan digital sektor kerajaan serta swasta.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta kerajaan menyatakan statistik terkini pendaftaran MyDigital ID serta mekanisme keselamatan kriptografi yang digunakan bagi melindungi data peribadi rakyat daripada risiko kebocoran dan serangan siber.

Menurutnya, platform MyDigital ID menggunakan pelbagai mekanisme keselamatan kriptografi bagi memastikan kerahsiaan, integriti dan keselamatan identiti digital pengguna sentiasa terpelihara.

Antara mekanisme yang digunakan ialah Prasarana Kunci Awam (PKI), iaitu piawaian keselamatan berasaskan kriptografi untuk mengesahkan identiti pengguna dalam sesuatu transaksi serta melindungi maklumat dan data daripada akses atau pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Beliau berkata, komponen PKI dan Pihak Berkuasa Perakuan (Certification Authority) tertakluk kepada kerangka Akta Tandatangan Digital 1997.

Selain itu, MyDigital ID turut menggunakan algoritma hashing SHA-256 dengan menerapkan prinsip privacy by design, iaitu data sulit pengguna tidak disimpan dalam bentuk teks biasa, sebaliknya dilindungi menggunakan teknologi kriptografi seperti hashing dan penyulitan (encryption).

Menurut Ahmad Zahid, algoritma berkenaan diperakui dan disenaraikan di bawah Skim Senarai Algoritma Kriptografi Terpercaya Negara (MySEAL) yang dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, selaras dengan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi).

Katanya, penggunaan algoritma dan produk kriptografi yang melalui proses penilaian serta pengiktirafan itu bertujuan memastikan teknologi keselamatan yang digunakan memenuhi keperluan ditetapkan kerajaan.

Dalam aspek keselamatan pengguna, sistem MyDigital ID turut menggunakan ciri Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA), yang mewajibkan pengguna melalui lebih daripada satu tapisan pengesahan sebelum akses diberikan.

Langkah itu bertujuan memperkukuh keselamatan identiti digital serta mengurangkan risiko kebocoran data, penipuan, penyamaran dan kecurian identiti.

BBerkaitan

Latest articles