Bela Melayu, Islam Dengan Maruah, Bukan Ketakutan – Amirudin

MELAKA: Orang Melayu dan Islam perlu dibela dengan maruah, bukannya melalui politik ketakutan atau slogan semata-mata, kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, isu pengurusan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu dilihat sebagai persoalan amanah terhadap wang pendeposit Islam.

“Ini duit orang Islam, orang ibu bapa nak simpan untuk pergi haji, nak dapat barakah dalam kehidupan, laksanakan rukun Islam yang kelima sebagai puncak rukun kita sebagai umat Islam.

“Orang ingin belanja untuk Tabung Haji, nak pergi haji, tunaikan ibadah paling tinggi, duit ini mengalir kepada skandal terbesar dalam negara kita. Ini pengkhianatan umat Islam dan seluruh umat Islam dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam tadi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam RCI berkenaan ialah pelaburan TH dalam syarikat yang dikaitkan dengan urus niaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau mendakwa, berdasarkan perkara yang dibangkitkannya, terdapat aliran dana daripada pelaburan TH kepada syarikat yang kemudiannya dikaitkan dengan SRC International.

“Duit ini dibelanjakan kepada satu sebanyak RM35 juta kepada satu syarikat yang namanya Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

“Daripada RM35 juta yang masuk dan kemudian mengalir kepada SRC, Najib Razak didapati bersalah kerana menerima RM27 juta daripada SRC. Yang kita percaya sebahagian RM27 juta datang daripada mana? Daripada RM35 juta yang disalurkan daripada wang Tabung Haji,” katanya.

Bagaimanapun, rekod rasmi berkaitan RCI menunjukkan pelaburan TH dalam Putrajaya Perdana Bhd antara perkara yang dikaitkan dengan urus niaga 1MDB dan mengakibatkan kerugian RM145.3 juta kepada TH.

Laporan RCI yang diterbitkan pada Julai lalu turut mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah untuk diaudit secara forensik, manakala kerajaan kemudian memaklumkan tindakan penguatkuasaan susulan penemuan berkenaan.

Amirudin berkata, persoalan mengenai pengurusan dana TH tidak seharusnya dialihkan kepada isu kaum dan agama semata-mata kerana ia membabitkan amanah terhadap wang jutaan pendeposit.

Katanya, politik yang menggunakan ketakutan terhadap Melayu dan Islam perlu ditolak kerana bangsa itu sepatutnya dibangunkan dengan maruah.

“Kita nak naikkan bangsa, kita nak naikkan sesuatu kelompok kita umat Islam, orang Melayu dengan maruah, bukan dengan ketakutan. Ini maruah umat Islam!

“Kita nak majukan Melayu, kita nak hidupkan Melayu dengan maruah, bukan dengan slogan, bukan dengan ketakutan, bukan dengan hantu yang sengaja diciptakan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mendakwa terdapat pelaburan TH bernilai lebih RM500 juta yang akhirnya menjadi kosong dan turut mempersoalkan kaedah perakaunan serta penilaian aset institusi berkenaan.

Beliau berkata, isu tersebut menunjukkan kepentingan memastikan pengurusan institusi Melayu dan Islam dilakukan secara telus serta bertanggungjawab.

“Bukan sedikit, ratus-ratus juta. Saya sebutkan contohnya, adalah pelaburan-pelaburan tertentu yang bernilai RM500 juta lebih. Dan nilainya akhirnya jadi berapa? Jadi kosong!

“Bayangkan kita belanja RM1, akhirnya kita tak ada dapat satu pulangan pun. Maknanya RM1 itu lesap. Duit itu duit siapa? Duit Tabung Haji,” katanya.

Menurut laporan rasmi, RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah TH yang memerlukan penelitian lanjut, dengan keseluruhan kerugian berkaitan 14 pelaburan itu kemudian dilaporkan mencecah hampir RM13 bilion.

Amirudin turut menolak dakwaan bahawa usaha pemulihan TH sebelum ini bermaksud institusi berkenaan dijual kepada bukan Islam.

Menurutnya, dakwaan sedemikian merupakan sebahagian daripada permainan politik yang cuba mengaitkan isu pentadbiran dengan sentimen agama dan kaum.

Beliau berkata, politik identiti yang memainkan isu Melayu dan Islam tidak seharusnya mengatasi keperluan kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti kemiskinan, kos sara hidup dan harga barang.

“Politik perkauman ataupun politik identiti inilah yang telah memerangkap banyak negara, yang telah memerangkap banyak bangsa, yang akhirnya keputusan akhirnya tidak akan membawa kebaikan.

“Kerana akhirnya negara, pentadbiran dan pengurusan perlu menguruskan dan mentadbir nasib rakyat,” katanya.

Amirudin berkata, ujian sebenar kepada sesebuah kerajaan ialah ketika mempunyai kuasa kerana pada ketika itu rakyat boleh menilai sama ada segala perkara yang dilaungkan sebelum ini benar-benar dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menilai prestasi pentadbiran berdasarkan tindakan dan hasil, bukan semata-mata retorik berkaitan kaum serta agama.

BBerkaitan

Latest articles