Melayu DAP’ Bukan Pengkhianat, Kata Young Syefura

MELAKA: Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman menolak dakwaan bahawa orang Melayu dalam DAP merupakan pengkhianat, sebaliknya mempersoalkan pihak yang didakwa menggunakan isu Melayu dan Islam tetapi pada masa sama membiarkan berlakunya ketirisan.

Menurutnya, label ‘Melayu DAP’ dan dakwaan kononnya golongan itu pengkhianat atau kafir tidak sepatutnya dijadikan modal politik, sebaliknya persoalan mengenai pengurusan dana orang Islam seperti Tabung Haji perlu dijawab.

“Yang Melayu itulah, yang Islam itulah, yang paling sebenarnya pengkhianat negara,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Skandal Tabung Haji: Siapa Khianat Orang Melayu Islam di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini malam tadi.

Young Syefura, yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, persoalan utama bukan berkaitan kaum atau agama, tetapi sama ada amanah terhadap wang rakyat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Beliau mendakwa terdapat ketirisan dan pengurusan tidak bertanggungjawab dalam Tabung Haji berdasarkan hasil siasatan yang dibangkitkannya, selain mempersoalkan pelaburan membabitkan pembelian dua bangunan hotel di Makkah dan Madinah yang menurutnya bernilai kira-kira 1.4 bilion riyal.

Katanya, tindakan undang-undang wajar diteruskan sekiranya terdapat asas untuk mendakwa mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

“Kalau salah, dakwa! Kita sudah dakwa. Mereka sudah dipanggil ke SPRM dan kita menunggu pula mahkamah mengambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, isu Tabung Haji tidak seharusnya dianggap selesai hanya kerana institusi berkenaan kini berada dalam keadaan lebih baik atau mencatat keuntungan.

Beliau berkata, sebarang ketirisan wang rakyat perlu dipersoalkan kerana ia membabitkan simpanan orang Islam yang mempercayakan wang mereka kepada institusi berkenaan.

Menurutnya, perkara sama perlu diberi perhatian terhadap isu lain yang dibangkitkan berkaitan MARA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Kalau mereka datang, mereka berbicara tentang Melayu dan Islam, soal mereka semula, ‘Bagaimana tentang Tabung Haji? Bagaimana tentang MARA? Tentang UiTM?’

“Segala ketirisan ini tidak boleh kita biarkan. Segala rasuah ataupun perkara-perkara yang menjatuhkan negara kita, menjatuhkan bangsa kita tidak boleh kita diamkan,” katanya.

Young Syefura yang juga pemimpin DAP berkata, politik negara ketika ini tidak seharusnya terus berteraskan perkauman atau politik identiti.

Beliau menegaskan PH membawa pendekatan yang menurutnya merangkumi semua kaum dan agama, selain mahu memastikan Malaysia bergerak ke arah lebih baik.

“Kita menolak segala politik perkauman yang mengatakan DAP akan mentadbir negara dan sebagainya. Sudahlah.

“Kita ini Pakatan Harapan, kita menjaga semua kaum, kita menjaga semua agama, kita menjaga semua bangsa,” katanya.

Beliau turut menyeru penyokong PH supaya memainkan peranan menerangkan fakta dan menjawab dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH menerusi media sosial.

Young Syefura berkata, PRN Melaka yang bakal berlangsung perlu digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan negara.

Beliau turut mengingatkan penyokong PH mengenai tarikh 31 Oktober sebagai hari penamaan calon serta menyeru mereka memberikan sokongan kepada calon PH di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

BBerkaitan

Latest articles