Azeez Cabar Pembatalan Perjanjian Cukai RM4.8 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatalkan perjanjian penyelesaian cukai bernilai RM4.8 juta yang dipersetujui pada 2022.

Abdul Azeez, 60, memohon kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) itu.

Permohonan berkenaan difailkan pada 6 September lalu dengan KPHDN dinamakan sebagai responden tunggal.

Beliau turut memohon supaya mahkamah mengarahkan LHDN mematuhi perjanjian penyelesaian yang dimeterai pada 9 Februari 2022, membabitkan taksiran komposit bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2020.

Dokumen mahkamah menunjukkan siasatan cukai terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu dijalankan LHDN antara pertengahan 2018 hingga awal 2022 sebelum membawa kepada perjanjian penyelesaian di bawah Seksyen 96A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Berdasarkan persetujuan itu, jumlah cukai dan penalti bagi tempoh 10 tahun berkenaan ditetapkan pada RM4.8 juta, terdiri daripada RM4.17 juta cukai dan RM626,086.90 penalti.

Abdul Azeez mendakwa jumlah berkenaan telah dilunaskan sepenuhnya menerusi bayaran secara ansuran bulanan menggunakan 25 keping cek seperti dipersetujui.

Bagaimanapun, LHDN menerusi surat bertarikh 7 Ogos lalu memaklumkan pembatalan perjanjian penyelesaian serta notis taksiran komposit itu selepas agensi berkenaan menemukan fakta dan pendapatan baharu yang didakwa tidak diambil kira sebelum ini.

LHDN turut memaklumkan pengiraan cukai baharu akan dibuat dan dikeluarkan kemudian.

Susulan pembatalan itu, beberapa notis dikeluarkan kepada Abdul Azeez di bawah Seksyen 78 hingga 81 Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Notis itu antara lain menghendaki beliau hadir untuk memberikan maklumat serta mengemukakan penyata berkaitan perbelanjaan peribadi dan kedudukan modalnya.

Dalam hujahan di mahkamah hari ini, peguam Nicholas Mark Pereira yang mewakili Abdul Azeez berkata tindakan membatalkan perjanjian itu wajar dicabar kerana Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan taksiran komposit sebagai muktamad dan konklusif.

Menurutnya, anak guamnya telah membayar keseluruhan jumlah RM4.8 juta seperti dipersetujui, namun pembatalan dilakukan tanpa penjelasan terperinci berhubung fakta baharu yang didakwa ditemui LHDN.

Pihak Abdul Azeez turut memohon perintah penangguhan bagi menghalang LHDN meneruskan siasatan atau tindakan penguatkuasaan berkaitan perkara itu sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang turut mewakili Abdul Azeez pula berhujah bahawa status quo perlu dikekalkan kerana pihaknya mempertikaikan asas perundangan yang membolehkan perjanjian penyelesaian dibatalkan selepas taksiran komposit dipersetujui.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Ng Siew Wee yang mewakili KPHDN membantah permohonan kebenaran tersebut atas alasan ia dibuat terlalu awal.

Beliau berkata surat LHDN bertarikh 7 Ogos itu merupakan sebahagian daripada proses siasatan yang masih berjalan dan belum menghasilkan liabiliti atau taksiran cukai baharu yang boleh dikuatkuasakan terhadap Abdul Azeez.

Ng turut berhujah bahawa perintah penangguhan tidak boleh diberikan secara sebelah pihak, selain tindakan menghalang LHDN daripada mendapatkan maklumat akan menjejaskan fungsi agensi berkanun berkenaan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim S Indra Nehru menetapkan 11 November ini untuk keputusan berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut.

BBerkaitan

Latest articles