SC tidak melangkaui bidang kuasa statutori – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak melangkaui bidang kuasa statutori dalam menjalankan fungsi kawal selianya, kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, SC dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempunyai mandat serta bidang kuasa masing-masing yang ditetapkan menerusi undang-undang.

Menurutnya, SSM bertanggungjawab mengawal selia syarikat di negara ini, manakala SC memberi tumpuan kepada aspek pelaburan dan pasaran modal.

“Yang penting kita kena ingat, kedua-dua agensi kawal selia yang ada dalam negara ini mempunyai mandat masing-masing.

“SSM mengawal selia syarikat-syarikat yang ada dalam negara, dan SC mengawal selia dari segi pelaburan dalam pasaran saham yang ada di Malaysia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung dakwaan SC melangkaui bidang kuasanya dengan mengambil tindakan terhadap syarikat di bawah seliaan SSM.

Amir Hamzah berkata, sekiranya sesuatu kes melibatkan bidang kuasa lebih daripada satu agensi, setiap pengawal selia akan bekerjasama bagi menentukan tindakan berdasarkan mandat yang diperuntukkan Parlimen.

“Bila ada kawasan yang kita masuk di mana sesuatu itu disiasat dan ada mandat yang berbeza, tiap-tiap agensi akan bekerjasama.

“Dia akan melihat di mana bawah bidang kuasa siapa dan dia mengikut apa yang diberikan oleh Parlimen dalam akta undang-undang yang ada,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan turut memastikan penyelarasan antara agensi kawal selia dilaksanakan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan kepentingan awam serta integriti pasaran terus terpelihara.

Dalam jawapan asalnya, Amir Hamzah berkata, antara mekanisme kerjasama itu termasuk perkongsian maklumat, rujukan kes dan perbincangan di peringkat pegawai serta pengurusan.

Katanya, SC turut terlibat dalam beberapa platform penyelaras nasional termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFSCC), Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata, kerjasama antara SC dan agensi lain turut membabitkan tindakan terhadap penipuan kewangan dan skim pelaburan palsu.

“Pada 2024 dan 2025, kerjasama telah berjaya menyekat dan menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon yang dikaitkan dengan penipuan kewangan dan skim pelaburan palsu,” katanya.

Sementara itu, menjawab persoalan mengenai keadaan pasaran saham dan dakwaan berlaku kejatuhan nilai transaksi melebihi RM1 bilion, Amir Hamzah berkata pasaran modal negara kekal stabil meskipun berlaku turun naik.

“Dalam pasang surut pasaran modal, kita akan melihat kadang-kadang saham itu akan naik, kadang-kadang saham itu mengendur kerana ada banyak yang berlaku di dalam dunia.

“Kita sekarang dalam fasa di mana geopolitik yang ada di dunia ini banyak berubah,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan pasaran saham Malaysia turut disokong dasar kerajaan yang telus serta usaha menarik kemasukan dana dan pelaburan asing.

“Kita telah melihat dari segi Malaysia, kita mendapat FDI yang tertinggi daripada approved investment yang datang kepada Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles