SEREMBAN: Sepuluh bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan membawa pertikaian pembatalan pelantikan mereka ke mahkamah dengan memohon supaya tindakan berkenaan diisytiharkan batal, tidak sah dan tidak mempunyai kuat kuasa.
Kesemua mereka, yang terdiri daripada wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Oktober lalu terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam permohonan itu, mereka mencabar kesahan pembatalan pelantikan yang diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 24 September 2026.
Mereka turut memohon mahkamah menentukan persoalan perlembagaan berkaitan bidang kuasa untuk membatalkan pelantikan anggota MMKN, termasuk sama ada tindakan berkenaan boleh dibuat tanpa nasihat Menteri Besar.
Sepuluh plaintif berkenaan ialah:
* Datuk Mohd Faizal Ramli, ADUN Linggi — bekas Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah;
* Datuk Zaifulbahri Idris, ADUN Chembong — bekas Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan;
* Datuk Mustapha Nagoor, ADUN Palong — bekas Exco Pembangunan Belia dan Sukan;
* Siti Nur Umaira Hasim, ADUN Labu — bekas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat;
* Datuk Mohd Asna Amin, ADUN Lenggeng — bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital;
* Datuk Mohd Razi Mohd Ali, ADUN Sungai Lui — bekas Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup;
* Suhaimizan Bizar, ADUN Gemencheh — bekas Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO;
* Siow Kong Choon, ADUN Chennah — bekas Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam;
* Mohd Fairuz Mohd Isa, ADUN Serting — bekas Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan; dan
* Datuk Razali Abu Samah, ADUN Sikamat — bekas Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.
Antara persoalan utama yang dibawa ialah sama ada pelantikan anggota MMKN, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang Dipertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.
Kontroversi itu tercetus selepas Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali, pada 21 September lalu memaklumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan anggota MMKN.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas Tuanku Muhriz mendapati anggota terbabit telah memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Beberapa hari sebelum itu, pada 17 September, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mengesahkan bahawa semua anggota MMKN sebulat suara memutuskan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin, menegaskan keputusan MMKN berhubung perkara itu tidak mempunyai kesan dari sudut undang-undang kerana ia berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.










