SOP Tahanan Rumah Sudah Diserahkan Kepada Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah dimaklumkan mengenai tatacara dan prosedur yang perlu dipatuhi bagi pelaksanaan tahanan rumah, kata Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Zamri Misman, berkata perkara itu telah dijelaskan kepada Najib oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian kepada Datuk Seri Najib,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat media di Parlimen, hari ini.

Beliau hadir pada sesi taklimat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkaitan hala tuju institusi Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mula berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Pengesahan itu dibuat ketika persoalan mengenai pelaksanaan tahanan rumah Najib kembali menjadi perhatian, susulan kenyataan keluarganya sebelum ini yang mendakwa masih belum memperoleh maklumat rasmi berkaitan mekanisme pelaksanaan tersebut.

Anak Najib, Nooryana Najwa, sebelum ini dilaporkan berkata pihak keluarga dan peguam juga belum dimaklumkan mengenai persediaan di kediaman Najib, termasuk sebarang pengubahsuaian yang diperlukan untuk melaksanakan tahanan rumah.

Najib sebelum ini menerima pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjara dalam kes SRC International dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Bagaimanapun, Azalina tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai perkembangan pelaksanaan tahanan rumah itu ketika ditanya pemberita.

Beliau sebaliknya mengarahkan pertanyaan berhubung perkara berkenaan diajukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

BBerkaitan

Latest articles