KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh terus mengambil pendekatan reaktif setiap kali berlaku tragedi di sekolah, sebaliknya perlu menyelami punca sebenar keganasan pelajar dan memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Itu gesaan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, yang berpandangan keselamatan sekolah tidak seharusnya terhad kepada pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan pengawal keselamatan atau penguatkuasaan prosedur tatatertib.
Menurut G25, langkah berkenaan sememangnya penting, namun tidak akan menyelesaikan akar masalah sekiranya faktor yang mendorong kepada keganasan dalam kalangan pelajar terus terpinggir.
“Kita mesti memahami punca asasnya. Anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang semakin penuh tekanan.
“Kanak-kanak juga lebih mudah terdedah kepada keganasan dalam talian, menerusi hiburan dan media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
G25 berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius susulan beberapa insiden keganasan di sekolah yang meragut nyawa pelajar, termasuk kes Irene Sofiya Khairoul Faisal, pelajar Tingkatan Empat yang maut selepas dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Kebimbangan itu turut timbul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Anwar sebelum ini turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan tambahan RM15 juta tahun depan bagi pemasangan CCTV di 1,000 sekolah sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan pelajar.
Namun, G25 menyifatkan pengumuman sedemikian tidak seharusnya menjadi keseluruhan respons kerajaan terhadap isu keselamatan sekolah.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa pendekatan yang hanya muncul selepas tragedi berlaku berisiko menjadikan isu keselamatan sekolah terus ditangani secara bermusim.
“Dengan mengumumkan satu lagi langkah dan kajian, sebelum beralih kepada isu lain sehingga berlaku tragedi seterusnya, itu tidak memadai apabila kita berdepan dengan soal keselamatan dan nyawa kanak-kanak,” katanya.
Sehubungan itu, G25 menggesa kerajaan menjalankan kajian bebas dan menyeluruh berkaitan keselamatan sekolah serta kesejahteraan pelajar dengan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dan pakar.
Menurutnya, pendekatan berkenaan lebih wajar berbanding menjalankan kajian berasingan selepas setiap tragedi, yang hanya melihat sesuatu kejadian secara terasing tanpa menilai kelemahan sistem secara menyeluruh.
Kajian itu, katanya, perlu merangkumi keselamatan fizikal sekolah, pengawasan asrama, liputan CCTV, isu buli dan prosedur tatatertib, selain sokongan kesihatan mental serta keberkesanan dasar sedia ada.
G25 menegaskan keselamatan pelajar tidak boleh hanya diukur berdasarkan sejauh mana sesebuah sekolah mempunyai kawalan fizikal, sebaliknya perlu turut mengambil kira persekitaran yang membentuk tingkah laku, kesejahteraan emosi dan keselamatan psikologi mereka.










