KUALA LUMPUR: Pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan hingga mengakibatkan kecederaan atau kematian bakal berdepan tanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa atau waris, selain hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan bersetuju memasukkan mekanisme pampasan atau ganti rugi berkenaan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pesalah bukan sahaja menerima hukuman jenayah, malah bertanggungjawab terhadap kerugian dan penderitaan yang ditanggung mangsa serta keluarga mereka.
Katanya, butiran berkaitan bentuk pampasan, kaedah penilaian dan mekanisme pelaksanaannya kini sedang diperhalusi sebelum cadangan pindaan berkenaan dibawa ke Parlimen.
“Pada masa ini, Seksyen 44 Akta 333 memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Akta ini juga mengawal kesalahan berkaitan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan melalui Seksyen 45A serta peruntukan berkaitan ujian nafas dan spesimen,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Loke menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung hasrat Kementerian Pengangkutan mewujudkan mekanisme perundangan bagi mewajibkan pampasan mandatori atau restitusi daripada pemandu mabuk kepada mangsa atau waris.
Beliau berkata kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang berakhir dengan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.
Justeru, pendekatan menangani kesalahan berkenaan tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman selepas kejadian berlaku, sebaliknya perlu meliputi aspek pencegahan, penguatkuasaan, pendidikan dan kawalan terhadap pemandu berisiko tinggi.
Dari sudut penguatkuasaan, katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi bersasar, termasuk pemeriksaan alkohol di lokasi serta pada waktu yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi.
“Daripada aspek pencegahan pula, pendidikan dan advokasi mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah terus diperkukuh, termasuk penekanan pengguna perlu memilih alternatif perjalanan selamat sekiranya tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan turut meneliti pengukuhan sistem mata demerit serta tindakan terhadap lesen memandu pesalah berulang, selaras dengan keputusan dasar yang telah dibuat bagi memperkukuh kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi.
Loke berkata, ketika ini kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit.
“Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk bukan sahaja merangkumi hukuman kepada pesalah, tetapi juga perlindungan dan pembelaan lebih baik kepada mangsa serta waris, di samping intervensi pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian daripada berlaku,” katanya.










