KUALA LUMPUR: Seramai 73,498 kanak-kanak kohort berusia enam tahun telah mendaftar ke Tahun 1 bagi kalendar akademik 2027 setakat 30 September lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 491,649 murid yang telah mendaftar untuk kemasukan Tahun 1 bagi sesi berkenaan.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 418,151 merupakan kanak-kanak kohort berusia tujuh tahun, manakala 73,498 lagi terdiri daripada kohort enam tahun.
“Berdasarkan data setakat 30 September 2026, seramai 73,498 permohonan pendaftaran ke Tahun 1 diterima bagi kalendar akademik tahun 2027 melibatkan kanak-kanak kohort enam tahun.
“Manakala jumlah kanak-kanak kohort tujuh tahun adalah seramai 418,151 orang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pada persidangan Dewan Rakyat.
Aminuddin sebelum itu meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang telah mendaftar ke Tahun 1 sesi persekolahan 2027 berbanding anggaran 439,744 orang berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari segi guru, bilik darjah, prasarana dan peruntukan bagi menampung kemasukan kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Wong berkata, KPM telah membuat ketetapan untuk memperluas akses kemasukan ke Tahun 1 dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa mendaftarkan anak kohort berusia enam tahun mulai kalendar akademik 2027.
Katanya, kemasukan kanak-kanak kohort tujuh tahun bagaimanapun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata KPM sedang melaksanakan pembinaan 677 bilik darjah tambahan baharu di 605 sekolah melalui konsep Industrialised Building System (IBS) modular.
“Jumlahnya ialah 1,478 bilik darjah tambahan baharu di 605 buah sekolah.
“Selain itu, sebanyak 1,514 bilik darjah tambahan disediakan melalui proses tukar fungsi bilik khas menerusi projek penyelenggaraan dan naik taraf sekolah,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kapasiti bilik darjah mencukupi untuk menampung pertambahan enrolmen murid susulan pelaksanaan kemasukan pilihan bagi kohort enam tahun.
Dari segi tenaga pengajar pula, Wong berkata seramai 3,150 guru telah diluluskan berdasarkan unjuran enrolmen dan keperluan sebenar sekolah.
Katanya, guru yang telah lulus saringan kesihatan akan menerima tawaran lantikan pada bulan ini, manakala lantikan sebenar dijadualkan pada 7 Disember 2026.
“Lantikan ini adalah khusus bagi menampung penambahan enrolmen murid kohort enam tahun,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Aminuddin mengenai pecahan pendaftaran mengikut negeri serta usaha menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak berusia enam tahun, Wong berkata kementerian mempunyai data terperinci mengikut negeri dan bersedia menyerahkannya kepada Ahli Parlimen berkenaan.
Beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 108,893 orang.
Wong turut memberi jaminan KPM bersedia menangani sekiranya berlaku peningkatan pendaftaran pada saat akhir kerana persediaan dari segi prasarana telah dibuat.
“Trend peningkatan dalam tempoh tiga bulan lepas adalah lebih kurang sama dan kita tidak menjangka berlaku peningkatan mendadak dalam masa dua bulan ini.
“Persediaan yang ada adalah mencukupi dan pemantauan akan terus dilakukan,” katanya.
Menurutnya, KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran serta kesiapsiagaan di setiap sekolah, negeri dan daerah memandangkan data pendaftaran bersifat dinamik.
Beliau berkata, perkara paling penting pada tahun pertama pelaksanaan dasar berkenaan ialah memberikan peluang dan pilihan kepada ibu bapa kerana mereka paling memahami keadaan serta kesediaan anak masing-masing.










