KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perlindungan warga emas kini berada di fasa akhir penggubalan sebelum dimuktamadkan bagi memperkukuh kebajikan serta melindungi golongan itu daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses penggubalan RUU berkenaan mengambil masa bagi memastikan pandangan pelbagai pihak, termasuk kementerian, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat di peringkat akar umbi, diambil kira.
Menurutnya, proses konsultasi yang menyeluruh penting bagi memastikan RUU berkenaan bersifat komprehensif, menepati keperluan semasa dan dapat dilaksanakan secara teratur.
“Kerajaan komited untuk meneliti pelbagai perkara dan cadangan baharu yang dikemukakan oleh pemegang taruh bagi memastikan RUU yang dihasilkan kelak benar-benar komprehensif,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, Nancy menegaskan bahawa perlindungan kebajikan warga emas tidak terhenti sementara menunggu RUU berkenaan dimuktamadkan.
Sebaliknya, katanya, hak dan keselamatan golongan itu terus dilindungi menerusi peruntukan undang-undang serta mekanisme sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi warga emas orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata kementerian turut menyediakan saluran intervensi menerusi Talian Kasih 15999 bagi membolehkan kes yang memerlukan bantuan dan perlindungan dirujuk kepada pihak berkaitan.
“Bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi bantuan kewangan, penjagaan kesihatan, sokongan komuniti dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang.
“Antaranya termasuk Bantuan Warga Emas sebanyak RM600 sebulan kepada individu yang layak, selain pengoperasian 234 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang mempunyai lebih 50,000 ahli setakat tahun ini,” jelasnya.
Selain itu, katanya, Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) pula membantu lebih 9,000 warga emas menerusi khidmat lebih 2,000 sukarelawan terlatih.
Kerajaan juga membangunkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026-2030 serta Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026 hingga 2030 bagi memperkukuh sistem penjagaan golongan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa penjagaan berasaskan keluarga atau family-based care serta konsep penuaan setempat (ageing in place) terus diberi penekanan supaya warga emas dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera, selamat dan bermartabat di kediaman sendiri.
“Langkah sokongan kepada penjaga keluarga turut merangkumi perkhidmatan kesihatan ke rumah, penjagaan paliatif, intervensi psikososial serta latihan bagi meningkatkan kompetensi penjaga.
“Kementerian turut melaksanakan latihan penjagaan warga emas menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM), dengan sasaran melatih 2,000 peserta pada tahun ini,” katanya lagi.
Selain itu, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Ageing Blueprint (NAB) yang dibangunkan Kementerian Ekonomi akan menjadi panduan strategik bagi mempersiapkan negara menghadapi peningkatan populasi warga emas.
Nancy berkata, usaha bersepadu antara kementerian dan agensi diperlukan bagi memastikan ekosistem perlindungan sosial negara merangkumi bantuan sosial, insurans sosial serta intervensi pasaran buruh.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara, selain menyediakan sokongan sewajarnya kepada ahli keluarga yang memainkan peranan sebagai penjaga utama,” ujarnya.










