Kerajaan Belum Miliki Hak Cipta Filem P Ramlee

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih belum memiliki hak cipta terhadap filem-filem Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, namun usaha sedang diteliti bagi memperoleh dan mengurus hak karya berkenaan sebagai aset warisan negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, status pemilikan hak cipta karya Allahyarham perlu diteliti secara terperinci kerana filem-filem berkenaan diterbitkan di bawah dua syarikat penerbitan berbeza.

Menurutnya, bagi tempoh 1948 hingga 1964, kebanyakan filem P. Ramlee diterbitkan oleh Malay Film Productions, studio milik Shaw Brothers di Singapura, manakala bagi tempoh 1964 hingga 1972, beliau menghasilkan 18 filem di bawah Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur.

“Status pemilikan hak perlu ditentukan bagi setiap karya berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.

“Sebarang perundingan bagi memperoleh atau mengurus hak hanya boleh dilaksanakan dengan pemilik hak yang sah,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di Dewan Rakyat.

Onn meminta Menteri Komunikasi menyatakan status terkini usaha kementerian bagi memperoleh atau membeli hak pemilikan, hak cipta atau hak pengurusan terhadap filem-filem P. Ramlee yang kini dimiliki pihak tertentu supaya karya berkenaan dapat dipelihara sebagai aset warisan negara.

Teo berkata, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengiktiraf karya P. Ramlee sebagai khazanah seni dan warisan negara yang tidak ternilai.

Katanya, kerajaan komited memastikan karya serta legasi seniman berkenaan terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini serta akan datang.

“Pada masa sama, usaha pemeliharaan terus dilaksanakan di bawah Seksyen 7(c) Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629).

“Arkib Negara Malaysia telah memperoleh 45 buah filem dan 65 bahan audio lagu beliau daripada pelbagai sumber termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan EMI Sendirian Berhad,” katanya.

Menurutnya, semua bahan tersebut disimpan dengan selamat dan boleh diakses bagi tujuan penyelidikan.

Teo berkata, kementerian melalui FINAS akan terus meneliti mekanisme terbaik bagi memperoleh dan memanfaatkan karya P. Ramlee, termasuk melalui pemerolehan hak, pengurusan bersama atau bentuk kerjasama bersesuaian dengan pemegang hak.

Katanya, penelitian itu mengambil kira kedudukan undang-undang, perundingan dengan pemilik hak, kepentingan waris serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Kerajaan akan terus memastikan karya dan legasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dipelihara sebagai khazanah seni dan warisan negara agar terus dihargai, dikaji dan dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Onn turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan arkib digital P. Ramlee yang menghimpunkan filem, lagu, skrip, poster, gambar, rakaman dan dokumentasi sejarah Allahyarham dalam satu repositori nasional.

Menjawab cadangan itu, Teo berkata cadangan tersebut adalah sangat baik dan beliau akan menyemak sama ada Arkib Negara Malaysia mempunyai usaha untuk mewujudkan arkib digital berkenaan.

“Di bawah FINAS memang ada usaha untuk mendigitalkan semua bahan dalam simpanan FINAS.

“Saya akan semak sama ada FINAS dan Arkib Negara Malaysia boleh bekerjasama untuk mendigitalkan semua karya Tan Sri P. Ramlee,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sekiranya lebih banyak salinan karya P. Ramlee diperoleh, FINAS akan melakukan yang terbaik bagi memastikan karya berkenaan dipelihara dengan baik.

BBerkaitan

Latest articles