KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kedudukan UNHCR serta pengeluaran kad kepada pelarian Rohingya di Malaysia.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, isu pengeluaran kad UNHCR perlu dilihat secara serius kerana ia berkait rapat dengan kedudukan serta status warga Rohingya yang berada di negara ini.
Menurutnya, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, namun UNHCR masih beroperasi dan mengeluarkan kad kepada pelarian di negara ini.
“Saya nak tanya dengan Yang Amat Berhormat, apakah sistem ini juga sudah diambil kira tentang kedudukan UNHCR yang sepatutnya tidak lagi ada di Malaysia ini?
“Kita tidak menandatangani Refugees Convention, tapi UNHCR masih di sini dan mengeluarkan kad ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.
Hamzah berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada pengeluaran dokumen berkaitan pelarian boleh diambil alih oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya proses penentuan status mereka dikendalikan sendiri oleh kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kekeliruan mengenai status individu yang dihantar pulang ke Myanmar, khususnya membabitkan etnik Rohingya.
“Bagaimana caranya untuk kita tidak membenarkan UNHCR untuk mengeluarkan kad, tetapi KDN yang mengeluarkan kad atau kerajaan Malaysia yang mengeluarkan kad supaya isu ini tidak nanti disalah faham yang sebenarnya yang dihantar balik itu bukan Rohingya.
“Yang dihantar balik itu adalah mereka yang ditahan mempunyai kesalahan-kesalahan yang memang kena bawa balik, deportation yang sebenarnya,” katanya.
Hamzah turut menyentuh pengumuman KDN berhubung pelaksanaan sistem DPP yang menurutnya bertujuan menentukan identiti warga Rohingya di Malaysia.
Katanya, langkah memberikan identiti kepada golongan berkenaan menunjukkan sifat kemanusiaan rakyat Malaysia kerana ia membolehkan mereka bekerja secara sah.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa isu UNHCR merupakan perkara legasi yang telah lama wujud selepas agensi itu dibawa masuk dan diperkenankan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.
Menurut beliau, sebarang usaha untuk meminda peraturan berkaitan memerlukan masa serta proses rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan Malaysia tidak dilihat mengetepikan peraturan antarabangsa.
“Saya setuju dengan Larut bahawa sebenarnya tindakan, keputusan harus tegas diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar yang mengatur siapa yang layak, siapa tidak layak.
“Yang itu saya setuju. Tetapi ini legacy issue yang Berhormat Larut pun tahu semasa beliau di Dalam Negeri, hal ini juga berlaku,” katanya.
Anwar berkata, isu kemasukan warga Rohingya ke Malaysia bukan perkara baharu dan merupakan masalah lama yang perlu diselesaikan secara berperingkat.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah menerusi rundingan dengan Myanmar bagi menyelesaikan masalah keberadaan warga negara itu di Malaysia, termasuk usaha membawa mereka pulang.
“Sekarang ini pertama kali penyelesaian dari segi menghantar balik. Dan saya beritahu tadi tentang soal Rohingya, itu tentu kita kemukakan di antara isu.
“Tapi sekarang kan bila dia ada 200,000, dia kata, ‘Okey, kita bawa balik dulu.’ Saya kata bawalah yang mana dulu,” katanya.
Anwar turut menegaskan Malaysia memilih pendekatan engagement dengan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan, termasuk melalui kerjasama ASEAN.
Menurutnya, Malaysia tidak mengambil pendekatan keras seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menolak rundingan dengan Myanmar.
“Kita ambil pendirian secara bebas, berunding untuk yang pertama menyelesaikan masalah dalam negara kita.
“Dan masalah ini kalau tidak ditangani, akan merebak menjadi permasalahan keselamatan yang serius di kalangan rakyat,” katanya.










