KULIM: Tekanan berkaitan akademik dipercayai mendorong seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun terjun dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini, Ahad lalu.
Ketua Polis Kulim, Syamsul Sinring, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika waktu rehat.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang guru lelaki berusia 48 tahun selepas pelajar berkenaan ditemukan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah.
“Guru berkenaan kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta mampu bercakap sebelum membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
“Berdasarkan temu bual, mangsa mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Syamsul berkata, mangsa turut memaklumkan bahawa dia sering membandingkan pencapaian akademiknya dengan kakaknya yang kini berada di Tingkatan Empat di sekolah sama.
Katanya, mangsa dipercayai semakin tertekan kerana peperiksaan dijadual berlangsung minggu depan selain bimbang tidak mampu memenuhi harapan ibu bapanya.
“Siasatan turut mendapati seorang pelajar pernah melihat hantaran Instagram Story mangsa sehari sebelum kejadian yang dipercayai menyentuh mengenai tekanan berkaitan pelajaran dan keluarga.
“Bagaimanapun, hantaran berkenaan telah dipadam,” katanya.
Sementara itu, Syamsul dipetik Harian Metro berkata, polis kini sedang merakam keterangan beberapa individu bagi melengkapkan siasatan.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian berkenaan.










