AKPS Bakal Dapat Akses Lebih 5,000 CCTV Di KLIA

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal diberikan akses kepada sistem pemantauan lebih 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memperkukuh aspek keselamatan dan risikan di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, akses itu membolehkan AKPS memantau sistem CCTV milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dari sudut keselamatan, selain pemantauan sedia ada yang lebih tertumpu kepada urusan penumpang.

Menurutnya, perkara itu sudah dipersetujui dan kini dalam proses pentadbiran bagi membolehkan AKPS mengoperasikannya.

“Sekarang perbincangan sudah pun saya mulakan dengan Malaysia Airports Berhad supaya akses kawalan terhadap bilik kawalan yang sumber maklumat daripada CCTV yang 5,000 itu membolehkan bukan sahaja MAB yang mengawalnya, tetapi juga AKPS diberikan autoriti.

“Jadi AKPS akan melihat dari sudut pandang keselamatan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan sejauh mana fungsi National Immigration Command Centre (NICC) dapat digunakan sebagai sumber maklumat keselamatan dan risikan bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mempunyai pusat kawalan sendiri, namun fokusnya adalah kepada pemeriksaan di kaunter keluar masuk yang dilengkapi CCTV.

“Di sana, kawalan yang lebih lengkap adalah di bawah Malaysia Airports Berhad. Dia ada lebih daripada 5,000 CCTV di KLIA 1 dan KLIA 2.

“Malaysia Airports Berhad ini ada bilik kawalan sendiri. Tetapi perlu diingat, Malaysia Airports Berhad, kepentingannya adalah penumpang. Jadi wajaran keselamatan itu masih belum sepenuhnya di bawah kawalan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, AKPS juga akan menambah CCTV pada fasa kedua bagi meliputi kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘blind spot’ di KLIA.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kawasan yang tidak mendapat liputan kamera sedia ada dapat dipantau dengan lebih menyeluruh dari sudut keselamatan.

“Fasa dua nanti, AKPS akan juga melengkapkan CCTV tambahan kepada 5,000 yang sekarang ini dimiliki oleh Malaysia Airports Berhad.

“Jadi di mana AKPS akan tambah, di kawasan yang kita tandakan sebagai berlaku blind spot,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, isu ancaman sabotaj dalaman termasuk kes penggodaman sistem imigresen MyIMMS turut diberi perhatian serius oleh kementerian.

Menurutnya, kes membabitkan 11 individu termasuk pegawai imigresen, pakar teknologi maklumat imigresen, pengarah syarikat swasta, warga asing dan seorang pegawai polis itu bermula hasil risikan dalaman JIM.

Katanya, maklumat risikan berhubung unsur rasuah kemudian diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum operasi dijalankan.

“Kes spesifik yang Yang Berhormat maksudkan, ia bermula kerana risikan dalaman sendiri oleh Imigresen. Oleh kerana risikan itu menunjukkan tanda-tanda ada elemen rasuah, maka maklumat risikan itu diserahkan kepada SPRM.

“Lalu operasi SPRM kemudian membawa kepada ditangkap kalangan yang Yang Berhormat sebut tadi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat risikan antara agensi bagi memastikan ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan integriti negara dapat dikesan lebih awal.

Dalam masa sama, katanya, sistem MyIMMS yang telah digunakan hampir 30 tahun kini sedang melalui proses peralihan kepada National Integrated Immigration System (NIISe).

“Sekarang sudah pun kita lengkapkan perolehan dan kita gantikan dengan NIISe, National Integrated Immigration System kita, yang sekarang ini dalam fasa peralihan MyIMMS kepada NIISe.

“Insya-Allah kalau semua berjalan ikut jadual, suku pertama tahun depan itu roll out,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles