KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan pada peringkat awal dalam menangani isu keselamatan pelajar di sekolah, termasuk ketika kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, berlaku.
Beliau berkata, kerajaan mengambil serius kebimbangan berhubung peningkatan kes buli, penderaan, kecederaan dan kematian membabitkan pelajar di sekolah.
Menurutnya, tindakan segera dan tegas perlu diambil bagi memastikan keselamatan serta nyawa pelajar tidak terus terancam.
“Ada kelemahan awal tatkala kita tangani kes Zara dulu, itu semua diakui. Tetapi kita harus belajar daripada kelemahan itu dan perbaiki, ketatkan peraturan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat, Selasa.
Anwar berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuh keselamatan institusi pendidikan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), peningkatan jumlah guru bimbingan dan kaunseling serta pengambilan pembantu warden asrama.
Menurutnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk sekolah dan RM5 juta bagi sekolah berasrama penuh bagi tujuan berkaitan keselamatan, manakala tambahan RM15 juta akan disediakan tahun depan untuk 1,000 sekolah.
“Untuk guru bimbingan dan kaunseling baharu, sekarang 5,107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling kita tambah kerana nak selesaikan masalah ini.
“Pembantu warden asrama, 300 MySTEP telah dilantik. PDRM masuk dan diberi izin untuk masuk ke sekolah bila-bila masa, cara rasminya dengan pakaian seragam,” katanya.
Beliau berkata, seramai 400 warden turut diberikan latihan kemahiran dan sokongan psikososial, selain kuasa disiplin diperkukuh dan boleh diturunkan kepada guru.
Antara langkah lain termasuk penambahbaikan Sistem Disiplin Murid, advokasi suara murid, Polisi Perlindungan Murid Sekolah serta pelaksanaan Saringan Minda Sihat.
Dalam pada itu, Anwar bersetuju dengan pandangan Saifuddin supaya isu keselamatan di sekolah tidak disembunyikan semata-mata untuk menjaga imej sesebuah sekolah.
Beliau berkata, terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan pihak sekolah enggan melaporkan masalah kerana bimbang ia menjejaskan prestasi atau imej sekolah.
“Masalah ada kadang-kadang dilindungi, kadang dia tak mahu imej sekolah itu buruk. Jadi nak jaga prestasi sekolah, jadi bagi laporan yang baik padahal anak-anak di sekolah itu merasa terdera, tertekan masuk ke sekolah.
“Jadi saya setuju apa yang digesa oleh pihak PDRM, jangan sembunyikan. Kita sembunyikan nak jaga imej sekolah, yang rosak anak ini kita tak fikir. Pendekatan tak betul,” katanya.
Sebelum itu, Saifuddin yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi meminta kerajaan memberi perhatian terhadap apa yang disifatkannya sebagai kekurangan ‘sense of urgency’ dan kepimpinan dalam menangani isu keselamatan pelajar.
Beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan telah mengemukakan pelbagai cadangan termasuk rondaan, prosedur operasi standard (SOP), CCTV, kawalan sistem keluar masuk sekolah, penambahan guru kaunseling dan audit keselamatan.
Menurutnya, ahli Parlimen bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu membantu kerajaan menangani masalah berkenaan.
“Kami bukan mahu membalun, kami mahu membantu. Yang kami harapkan ialah Yang Amat Berhormat pantau hal ini,” katanya.
Saifuddin turut meminta kerajaan menyediakan data berkaitan kes kematian pelajar bagi mengenal pasti punca sebenar sama ada disebabkan buli, kecederaan atau faktor lain.
Mengulas perkara itu, Anwar berkata, beliau akan mendapatkan kertas cadangan Reformasi Pendidikan yang dikemukakan pihak pembangkang, khususnya oleh Saifuddin, untuk diteliti.
“Saya belum lihat kertas Reformasi Pendidikan. Itu memang dekat dengan jiwa saya, saya akan minta khas kertas Reformasi Pendidikan yang dibentang oleh pihak pembangkang, khususnya Yang Berhormat Indera Mahkota,” katanya.
Anwar turut menegaskan usaha menangani isu keselamatan pelajar bukan hanya bergantung kepada kerajaan dan sekolah, sebaliknya memerlukan kesedaran serta penglibatan ibu bapa dan keluarga.
Katanya, pemantauan keluarga terhadap kebajikan anak-anak perlu diperkukuh bagi memastikan sebarang masalah dapat dikesan lebih awal.
“Urgency harus ada. Ada kelemahan awal tatkala kita tangani kes Zara dulu, itu semua diakui. Tetapi kita harus belajar daripada kelemahan itu dan perbaiki,” katanya.










