Sekolah Berasrama Perlu Warden Bekas Tentera, CCTV – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan peruntukan khusus bagi melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di semua sekolah berasrama, selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkukuh aspek keselamatan pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah itu penting bagi mengurangkan beban guru yang turut dipertanggungjawabkan mengawasi pelajar di luar waktu pengajaran.

Menurutnya, cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan sekiranya sistem sekolah berasrama mahu terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

“Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik warden sepenuh masa bekas tentera bagi mengurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata, kewujudan warden sepenuh masa dapat memberi tumpuan khusus terhadap aspek pengawasan, disiplin dan keselamatan pelajar, sekali gus mengurangkan tanggungjawab tambahan yang kini dipikul guru.

Cadangan itu dilihat semakin relevan susulan kebimbangan terhadap isu buli, disiplin dan keselamatan pelajar yang berlaku di institusi pendidikan berasrama.

Sebelum ini, Asyraf mengumumkan MARA akan melantik warden sepenuh masa daripada kalangan bekas anggota tentera di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Pelantikan itu bertujuan memperkukuh kawalan disiplin serta keselamatan pelajar di MRSM.

Menurut Asyraf, keputusan berkenaan dibuat selepas MARA menilai keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

BBerkaitan

Latest articles