Belum Ada Pelarian Rohingya Dihantar Pulang Ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Belum ada pelarian etnik Rohingya di Malaysia yang dihantar pulang ke Myanmar setakat ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghantaran pulang lebih 10,000 warga Myanmar sejak Januari lalu melibatkan rakyat negara itu daripada beberapa kumpulan etnik, namun tiada pelarian Rohingya dikenal pasti dalam rekod mereka yang telah dibawa pulang.

“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang, tetapi ini masih lagi dalam perbincangan.

“Saya percaya Menteri Luar dan saya tatkala bertemu dengan Presiden Min Aung Hlaing beberapa hari ini, saya akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat pada Selasa.

Suhaizan meminta penjelasan sama ada 1,400 warga Myanmar yang dihantar pulang menggunakan kapal tentera laut Myanmar baru-baru ini termasuk pelarian Rohingya atau hanya melibatkan warganegara Myanmar.

Perdana Menteri berkata, persetujuan antara Malaysia dan Myanmar ketika ini adalah untuk membawa pulang rakyat Myanmar tanpa mengira kumpulan etnik, termasuk Arakan, Karen, Shan dan Rohingya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap individu yang dihantar pulang perlu memberikan persetujuan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

“Orang yang dibawa pulang ini, satu hal yang penting juga untuk maklumat Yang Berhormat, kita berikan jaminan dan hanya dengan persetujuan dia, menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita kirim.

“Kalau tidak, kita masih tidak dapat menjamin keselesaan mereka dan hak asasi, jaminan hak asasi.

“Yang pulang itu menandatangani persetujuan di Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka setuju tanpa paksaan, bukan ‘under duress’ untuk menghantar pulang,” katanya.

Perdana Menteri berkata isu keberadaan warga Myanmar di Malaysia perlu ditangani secara bijaksana kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan kemanusiaan.

Beliau berkata jumlah warga Myanmar yang terkumpul di Malaysia mencecah kira-kira 200,000 orang dan keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan masyarakat berkaitan pekerjaan, keselamatan serta keselesaan rakyat tempatan.

Menurutnya, Malaysia bagaimanapun perlu mengambil langkah yang munasabah dengan mematuhi undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, hasil rundingan dengan pihak Myanmar, lebih 10,000 warga negara itu telah dibawa pulang sejak Januari lalu, termasuk 1,400 orang yang dihantar menggunakan kapal tentera laut Myanmar baru-baru ini.

“Sebahagiannya atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat dan yang terakhir 1,400 itu dengan kapal tentera laut Myanmar yang kita beri laluan.

“Jadi jumlah 10,000 telah dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan turut akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, yang dijadualkan berlangsung dalam beberapa hari akan datang bersama Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia mahu setiap penghantaran pulang disertai jaminan layanan yang munasabah bagi mengelakkan penderaan, tekanan dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin membawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles