BATU PAHAT: Pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, Sabtu lalu, disahkan maut akibat kecederaan pada kepala dipercayai terkena objek tumpul.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata perkara itu disahkan menerusi bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, semalam.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa, Irene Sofiya Khairoul Faisal, 16, adalah ‘blunt trauma to the head’, iaitu kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau ulasan berhubung kejadian, termasuk menerusi media sosial, yang dikhuatiri boleh menjejaskan proses siasatan.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di dewan sekolah oleh neneknya pada petang hari.
Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tuisyen sebelum ditemukan di kawasan sekolah berkenaan.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan mendapatkan perintah reman sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.










