PAS Dicabar Nyata Pendirian Berhubung Krisis Perlembagaan Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: PAS dicabar supaya menyatakan pendirian secara terbuka berhubung krisis perlembagaan yang tercetus di Negeri Sembilan, termasuk dakwaan usaha menurunkan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, berkata kepimpinan PAS perlu menjelaskan sama ada parti itu menyokong tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, serta bekas anggota Exco negeri yang dikaitkan dengan usaha berkenaan.

Menurutnya, persoalan itu lebih penting kerana antara 10 anggota Exco yang dibatalkan pelantikan oleh Tuanku Muhriz ialah seorang wakil PAS.

“Apakah pendirian PAS terhadap keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan?

“PAS jangan berdolak-dalik, jangan beri ‘hint’ di sini dan sana. Nyatakan dengan jelas apa pendirian PAS mengenai apa yang berlaku kepada ADUN mereka sendiri.

“Lebih penting lagi, rakyat ingin tahu sejauh mana keterlibatan pemimpin PAS Pusat dalam krisis di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, yang mempersoalkan sama ada DAP akan menerima sekiranya anggota Exco daripada parti itu di negeri lain dipecat oleh raja tanpa kelulusan mesyuarat eksekutif.

Fadhli sebelum ini turut membangkitkan kewujudan peruntukan dalam perlembagaan negeri lain yang menyatakan anggota Exco memegang jawatan atas perkenan raja atau Yang Dipertua Negeri.

Mengulas perkara itu, Syahredzan turut mempersoalkan sama ada Fadhli bersedia mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Tuanku Muhriz berhubung pembatalan pelantikan anggota Exco terbabit.

“Soalan saya kepada Fadhli, adakah PAS akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Tuanku Muhriz di mahkamah?

“Ini kerana kenyataan beliau dilihat seperti membantah keputusan Tuanku Muhriz,” katanya.

Krisis diraja Negeri Sembilan tercetus pada April lalu selepas empat Undang, termasuk seorang yang kedudukannya dipertikaikan, membuat pengisytiharan mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan daripada kedudukan sebagai Yang Dipertuan Besar.

Kontroversi itu kembali memuncak bulan lalu apabila anggota Exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa dokumen berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz adalah sah.

Ismail yang ketika itu Menteri Besar turut menyokong kenyataan berkenaan sehari selepas ia dikeluarkan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan kemudiannya menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang, sekali gus mengesahkan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar yang sah.

Susulan perkembangan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota Exco negeri.

Pihak Istana Negeri Sembilan menjelaskan pelantikan anggota Exco adalah atas perkenan pemerintah, selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles