PN Cabar Tindakan RoS Di Mahkamah, Mahu Status Bertanding PRN Melaka Diperjelas

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah undang-undang dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar notis serta perintah penggantungan kegiatan gabungan itu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata permohonan berkenaan difailkan hari ini dan membabitkan lima setiausaha agung parti komponen PN sebagai pemohon.

Dua pihak dinamakan sebagai responden ialah Pendaftar JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Takiyuddin, antara perkara utama yang dimohon PN ialah perintah certiorari bagi membatalkan notis JPPM bertarikh 22 September di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.

Notis itu meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang diterima JPPM, yang menurut jabatan berkenaan dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PN turut mencabar perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) akta sama yang berkuat kuasa 23 September lalu dan menggantung semua kegiatan gabungan itu.

Takiyuddin berkata, PN turut memohon perakuan segera (certificate of urgency) supaya permohonan berkenaan dapat didengar dengan kadar segera, mengambil kira kedudukan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“PN turut memohon penjelasan rasmi daripada JPPM sama ada gabungan ini mempunyai hak dan kelayakan mengemukakan calon serta bertanding dalam pilihan raya, khususnya PRN Melaka yang akan datang,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, persoalan mengenai status PN perlu diperjelaskan segera kerana penggantungan kegiatan gabungan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN untuk menggunakan logo sendiri dalam PRN berkenaan.

Takiyuddin pada masa sama mempersoalkan asas aduan yang menjadi punca tindakan JPPM terhadap PN, dengan mendakwa pihaknya masih belum menerima penjelasan rasmi mengenai perkara tersebut.

“PN juga minta supaya diperjelaskan secara rasmi apakah aduan yang dibuat oleh Bersatu kerana PN hanya mendengar dalam media saja, sedangkan Bersatu adalah sebahagian daripada PN,” katanya.

JPPM sebelum ini menjelaskan bahawa notis 22 September itu bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan tersebut memberikan penjelasan terhadap aduan yang diterima.

Jabatan itu turut memaklumkan penggantungan semua kegiatan PN dibuat di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 bagi menjaga kepentingan pertubuhan sementara isu berkenaan ditangani.

BBerkaitan

Latest articles