KUALA LUMPUR: Zetrix AI Berhad sedang mengadakan rundingan bagi menyelesaikan isu penggantungan perkhidmatan kutipan bayaran untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengesahkan perkhidmatan kutipan bagi pihak JPJ telah digantung, susulan isu tunggakan bayaran yang sebelum ini dilaporkan membabitkan lebih RM200 juta.
Zetrix AI berkata pihaknya sedang berbincang bagi mencari penyelesaian terhadap penggantungan berkenaan dan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan penting.
Tunggakan itu dikaitkan dengan dana yang dikutip bagi pihak JPJ membabitkan urusan pembayaran cukai jalan, pembaharuan lesen memandu dan saman trafik.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebelum ini memaklumkan tunggakan berkenaan melibatkan fi serta bayaran saman yang dikutip Zetrix AI sejak Mei lalu.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan dan JPJ telah mengadakan empat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi menangani perkara itu.
Katanya, sebanyak 35 notis peringatan turut dikeluarkan kepada syarikat berkenaan, masing-masing disertakan tempoh akhir untuk menjelaskan tunggakan.
Bagaimanapun, Zetrix AI masih gagal melunaskan bayaran tersebut sehingga membawa kepada tindakan penggantungan perkhidmatan kutipan JPJ berkuat kuasa hari ini.










