TDM Serah Pegawai Tentera Ditahan Kepada PDRM, Stor Senjata Selamat

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut berhubung penahanan seorang pegawai tentera di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 28 September lalu.

TDM dalam kenyataan memaklumkan pegawai berkenaan ditahan selepas ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair yang disyaki bahan terlarang.

Menurut kenyataan itu, pegawai terbabit kini berada dalam tahanan PDRM bagi membantu siasatan.

“Saringan awal air kencing mendapati pegawai tersebut positif Mitragynine.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih tertakluk kepada pengesahan lanjut melalui analisis makmal dan hasil siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan berkenaan.

Susulan menerima maklumat mengenai kejadian itu, TDM turut mengambil langkah segera dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kesemua stor senjata dan stor peluru.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap dan mencukupi, selain tiada sebarang kehilangan direkodkan.

TDM memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang perkara membabitkan anggota dan pegawai tentera, selain sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan serta pematuhan kepada peraturan.

“TDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang telah disahkan,” katanya.

Dalam pada itu, TDM menegaskan sebarang kesimpulan berkaitan kejadian tersebut hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan pihak berkuasa, bukan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

TDM turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang awam atau menjejaskan proses siasatan.

Sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TDM pada masa yang bersesuaian.

BBerkaitan

Latest articles