Dr Rafidah Gesa Kerajaan Kembalikan Insentif, Perbaiki Kebajikan Doktor Di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Bekas pakar perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rafidah Abdullah menggesa kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh bagi menarik pegawai perubatan untuk melapor diri di penempatan terutama di Sabah dan Sarawak.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan KKM pada Rabu yang memaklumkan proses lapor diri Pegawai Perubatan Gred UD10 lantikan tetap Fasa 2/2026 masih berlangsung dan belum selesai.

KKM sebelum ini memaklumkan seramai 4,255 pegawai perubatan ditawarkan penempatan menerusi sistem ePlacement bagi lantikan Fasa 2/2026 yang berkuat kuasa mulai 28 September.

Pegawai yang masih belum melapor diri diberi tempoh sehingga 7 Oktober 2026 untuk melengkapkan urusan di Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing.

Mengulas perkara itu menerusi satu hantaran di media sosial, Dr Rafidah berkata penggunaan perkataan “menyeru” dalam kenyataan KKM dilihat agak keras, malah mencadangkan supaya pendekatan lebih bersifat memohon atau merayu digunakan.

“Tiada yang boleh memaksa. Tiada yang boleh menggesa.

“Perkataan yang digunakan oleh Bahagian Sumber Manusia KKM ialah ‘menyeru’. Pendapat saya, keras. Cuba guna perkataan memohon atau merayu. We are desperate, kan? Buatlah cara desperate,” jelasnya.

Beliau turut membangkitkan isu penempatan pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak, termasuk faktor kemudahan, elaun serta kebajikan yang menurutnya perlu diberi perhatian kerajaan.

Menurutnya, perpindahan untuk bekerja di Sabah dan Sarawak bukan perkara mudah, khususnya apabila terdapat kemudahan dan elaun yang pernah dinikmati sebelum ini tetapi telah berubah atau dikurangkan.

Sehubungan itu, Dr Rafidah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, antaranya mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) pada kadar lama, selain memperbaiki keadaan kediaman di kawasan pedalaman.

Beliau turut mencadangkan supaya kemudahan tiket penerbangan pergi balik ke Semenanjung diberikan dua hingga tiga kali setahun kepada pegawai yang ditempatkan di Malaysia Timur.

“Bagi tiket pergi balik Semenanjung dua tiga kali setahun. Come on MOF, JPA,” katanya.

Selain itu, Dr Rafidah mencadangkan pemberian merit bagi membolehkan pegawai perubatan memperoleh peluang mengikuti pengajian sarjana lebih awal.

Beliau turut meminta kriteria tiga Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bagi tujuan berkenaan dikaji semula kerana disifatkannya tidak munasabah.

“Beri merit untuk dapat Masters awal. Boleh JPA/BPL buang kriteria tiga SKT yang langsung tak masuk akal,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau menyeru Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak berkaitan supaya mengambil kira kebajikan serta keperluan pegawai perubatan yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

“Come on MOF, JPA – rakyat menunggu ni. Mereka nak tahu adakah kerajaan serius nak tolong rakyat?” katanya.

Dr Rafidah sebelum ini bersara pilihan daripada perkhidmatan KKM pada 7 April 2026 selepas berkhidmat dalam sektor awam selama hampir tiga dekad.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa lebih 4,000 pegawai masih belum melapor diri, khususnya ke Sabah dan Sarawak, belum boleh dianggap sebagai angka rasmi.

KKM setakat ini menyatakan jumlah 4,255 pegawai ialah jumlah yang ditawarkan penempatan bagi Fasa 2/2026, bukannya jumlah pegawai yang gagal atau enggan melapor diri.

KKM dalam kenyataan terbaharunya turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung proses penempatan itu dan memberi ruang sehingga proses lapor diri selesai.

BBerkaitan

Latest articles