Beri Ruang, Beri Masa Kepada Tun M

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta memberikan ruang dan masa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Permintaan keluarga Dr Mahathir itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mengingatkan pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial supaya mengutamakan adab, pertimbangan serta sifat kemanusiaan ketika menghasilkan kandungan berkaitan situasi semasa bekas perdana menteri itu.

Menerusi hantaran video di media sosial, Fahmi berkata, keinginan orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini Dr Mahathir perlu disertai dengan pertimbangan bahawa tidak semua perkara wajar dijadikan bahan berita atau kandungan media sosial.

“Kita faham ramai yang nak tahu perkembangan terkini termasuk keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir. Tapi sebenarnya tak semua benda perlu dikejar, lebih-lebih lagi untuk buat berita atau content.

“Teknologi boleh berubah, kita boleh berbeza pandangan tetapi janganlah guna media sosial sampai kita hilang adab, moral dan sifat kemanusiaan,” katanya.

Fahmi turut meminta pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan kandungan berbentuk spekulasi, kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak sensitif atau kenyataan yang boleh mengaibkan.

Menurutnya, kandungan sedemikian tidak seharusnya diberikan perhatian melalui perkongsian, komen atau tontonan, sebaliknya boleh dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis.

Nasihat berkenaan hadir ketika keadaan Dr Mahathir menjadi perhatian umum susulan pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah pada 28 September lalu.

Allahyarhamah, yang berusia 100 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama menerusi Istiadat Pengebumian Negara.

Pemergian Hasmah selepas lebih tujuh dekad mendirikan rumah tangga dengan Dr Mahathir turut menyaksikan perhatian umum tertumpu kepada keadaan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Dr Mahathir sebelum ini turut mendapatkan pemantauan doktor di IJN selepas pemergian isterinya. Anak mereka, Tan Sri Mokhzani Mahathir, memaklumkan keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkan bapanya mendapat perhatian sewajarnya selepas kehilangan Hasmah.

Dalam perkembangan berkaitan, anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut merayu orang ramai supaya tidak memberi tekanan kepada bapanya untuk berkongsi keadaan emosi yang sedang dilalui.

Mukhriz berkata, kehilangan Hasmah yang menjadi teman hidup bapanya selama lebih 70 tahun bukan sesuatu yang mudah untuk diterima dan Dr Mahathir memerlukan masa untuk melalui tempoh berkenaan.

Dr Mahathir juga dilaporkan telah menziarahi pusara Hasmah pada 1 Oktober lalu.

Perhatian terhadap Dr Mahathir semakin ketara apabila setiap perkembangan berkaitan keadaan beliau, termasuk kemunculan dan kunjungan selepas pemergian Hasmah, menjadi tumpuan pengguna media sosial.

BBerkaitan

Latest articles