Isu Bas, Kesesakan F1 Sepang Perlu Ditangani Segera

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To mempersoalkan pengurusan penonton pada hari pertama Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selepas beberapa peminat dilaporkan berdepan masalah pengangkutan dan kesesakan.

Eric yang juga pengkritik kerajaan berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada penonton, malah boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.

“Tak kisahlah pihak Bahrain atau Malaysia yang patut dipersalahkan, akhirnya imej Malaysia juga yang tercalar,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut beliau, beberapa komen di media sosial mendakwa berlaku masalah berkaitan pengurusan orang ramai, perkhidmatan bas ulang-alik, papan tanda, bekalan air minuman serta perjalanan keluar dari SIC.

“Ada yang mendakwa menunggu bas sampai empat jam. Ada yang kata keadaan langsung tidak teratur, orang berebut dan berlari mendapatkan bas.

“Ada yang mendakwa terpaksa berjalan di lorong kecemasan lebuh raya. Malah seorang peminat berkata perjalanan dari SIC ke stesen KLIA mengambil hampir tiga jam sedangkan dalam keadaan biasa jauh lebih singkat,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung jumlah penonton yang dijangka meningkat pada Sabtu dan Ahad, terutama ketika sesi kelayakan serta perlumbaan utama.

Eric berkata, keadaan pada Jumaat perlu dijadikan peringatan awal kerana hari berkenaan hanya melibatkan sesi latihan.

“Kalau hari latihan pun sudah jadi begini, bayangkan apa boleh berlaku apabila jumlah penonton meningkat pada qualifying dan race day,” katanya.

SIC sebelum ini memaklumkan hampir 100,000 tiket F1 GP Bahrain 2026 telah terjual, dengan kira-kira separuh pembeli terdiri daripada peminat antarabangsa.

Pada masa sama, Malaysia Airports sebelum ini menjangkakan lebih 200,000 penonton hadir ke SIC sepanjang tiga hari acara, dengan jumlah kehadiran harian dijangka melebihi 100,000 orang.

Mengulas lanjut, Eric berkata penganjur tidak seharusnya menganggap masalah yang berlaku sebagai sekadar kesesakan biasa.

Katanya, aduan daripada pengunjung luar negara perlu diberi perhatian kerana pengalaman mereka boleh mempengaruhi persepsi terhadap Malaysia sebagai penganjur acara antarabangsa.

“Kita baru dapat F1 kembali ke Sepang selepas sembilan tahun. Malaysia sepatutnya menunjukkan bahawa kita mampu mengendalikan acara bertaraf dunia dengan profesional.

“Jangan kerana pengurusan yang lemah, sama ada dari pihak Bahrain atau Malaysia atau kedua-duanya, satu dunia pula ingat Malaysia tidak tahu mengendalikan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak penganjur mengambil tindakan segera sebelum sesi kelayakan dan perlumbaan utama berlangsung.

Antara cadangan dikemukakannya termasuk menambah jumlah bas dan petugas, mewujudkan barisan serta zon menaiki bas yang lebih jelas, memastikan bekalan air mencukupi, menyediakan papan tanda lebih besar serta memberikan maklumat perjalanan secara masa nyata.

Beliau turut mencadangkan pelan kecemasan disediakan bagi menghadapi lonjakan jumlah penonton selepas sesi kelayakan dan perlumbaan.

“Jangan tunggu Ahad malam baru tubuh jawatankuasa dan kata akan ‘ambil pengajaran’.

“Kalau keadaan semalam berulang pada race day dengan orang ramai yang jauh lebih besar, kekecohan bukan sahaja akan menjadi lebih buruk, ia boleh menjadi isu keselamatan,” katanya.

Sementara itu, F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober, dengan sesi latihan, kelayakan dan perlumbaan utama dijadualkan sepanjang hujung minggu.

Laporan media pada Sabtu turut memetik aduan peminat berhubung barisan panjang dan kelewatan bas ulang-alik di SIC, termasuk dakwaan kelemahan pengurusan orang ramai dan tempoh menunggu yang lama.

BBerkaitan

Latest articles