PUTRAJAYA: Kerajaan belum bersedia memuktamadkan pelaksanaan gaji minimum baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya beberapa perkara berkaitan dasar itu diperhalusi terlebih dahulu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata arahan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, khususnya membabitkan tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja serta sektor yang akan terkesan.
Menurutnya, penelitian secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum kelak mengambil kira kesesuaian tempoh, kumpulan sasaran dan sektor berkaitan.
“Perdana Menteri minta supaya ada beberapa aspek dikaji dengan lebih teliti dan sekiranya ada apa-apa pengumuman, sudah pasti tarikh yang mungkin akan ada apa-apa pengumuman adalah sewaktu pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober nanti.
“Pada mesyuarat hari ini, Perdana Menteri minta supaya diteliti beberapa aspek. Kita tidak mahu dalam pelaksanaannya nanti, sama ada dari segi jangka masa, dari segi kumpulan ataupun sektor, kita akan teliti secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Fahmi berkata, sebarang perkembangan mengenai perkara itu dijangka diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, sekiranya keputusan mengenainya sudah dimuktamadkan.










