​PUTRAJAYA: NexG Berhad melabuhkan tirai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-18 hari ini dengan persetujuan sebulat suara para pemegang saham untuk menukar nama syarikat kepada Datasonic Group Berhad.
​Kelulusan itu menandakan lembaran baharu buat kumpulan tersebut dalam meneruskan langkah di bawah jenama Datasonic yang mempunyai reputasi kukuh di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Langkah penjenamaan semula ini turut menyokong cita-cita syarikat untuk memperluaskan kehadiran di pasaran luar negara serta meneroka peluang baharu di persada global.
Pertukaran nama tersebut berkuat kuasa sebaik sahaja Notis Pendaftaran Nama Baharu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
​Pengerusi Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ishak Ismail berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemegang saham atas keyakinan dan sokongan berterusan yang diberikan.
​”Kembalinya nama Datasonic ini menghubungkan semula kami dengan identiti yang mantap dan diiktiraf, terutamanya di kalangan pelanggan serta rakan kongsi sedia ada di Malaysia dan luar negara, sekali gus menandakan permulaan fasa pertumbuhan kami seterusnya,” ujar beliau.
​Beliau menambah, penjenamaan semula itu menyediakan platform yang lebih kukuh untuk membina hubungan sedia ada dan meneroka peluang global, dengan fokus kekal pada perniagaan teras identiti selamat, penyampaian projek berkesan, serta peningkatan keupayaan melalui teknologi dan automasi.
​Selain resolusi pertukaran nama, mesyuarat tersebut turut meluluskan pelantikan semula barisan pengarah yang layak bersara, pelantikan semula firma PKF PLT sebagai juruaudit luaran, mandat am bagi penerbitan dan peruntukan saham, serta pembaharuan kuasa untuk pelaksanaan pembelian balik saham oleh syarikat.
​Kumpulan itu menegaskan bahawa mereka akan terus kekal komited terhadap pelaksanaan berdisiplin, kecekapan operasi yang tinggi, serta pengukuhan kedudukan strategik dalam bidang identiti selamat dan teknologi berkaitan.
​Untuk rekod, NexG Berhad merupakan penyedia penyelesaian teknologi bersepadu berkaitan keselamatan yang terkemuka di Malaysia dengan rekod prestasi cemerlang dalam projek nasional kritikal sejak disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2012.
Syarikat ini menyokong pelbagai kepakaran teknikal melalui pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman, termasuk MyKad, e-Pasport patuh ICAO, sistem autoget biometrik dan pengecaman wajah, serta sistem kad pintar dan kewangan EMV.










