Ustazah Didakwa Tiga Pertuduhan Amang Seksual Pelajar Lelaki

IPOH: Seorang guru agama bergelar ustazah di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Perak berdepan tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Haslina Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Ainul Sharin Mohamad, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Haslina didakwa mencium mulut mangsa bagi maksud seksual pada November 2024.

Dia kemudian didakwa melakukan perbuatan sama dengan memeluk pelajar berkenaan kira-kira sebulan selepas kejadian pertama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, ibu kepada enam anak itu didakwa menyebabkan mangsa meraba bahagian dadanya bagi maksud seksual pada November tahun sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa berlaku di bilik Pendidikan Islam sebuah sekolah menengah kebangsaan di daerah Kinta, kira-kira jam 3.30 petang.

Haslina didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan jaminan, dengan alasan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin serta mengambil kira keseriusan pertuduhan membabitkan seorang guru dan pelajarnya.

Mahkamah turut dimaklumkan mangsa kini tidak lagi bersekolah di institusi sama dengan tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Amira Sofea An-Nur Ahmad memohon jaminan minimum dengan mengambil kira keadaan keluarga dan kesihatan anak guamnya.

Menurutnya, Haslina mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun yang masih bersekolah dan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, selain mengalami masalah kolesterol tinggi dan migrain.

Beliau turut memaklumkan suami tertuduh mempunyai masalah kesihatan dan Haslina merupakan sumber pendapatan utama keluarga.

Peguam itu berkata, anak guamnya kini bertugas di sekolah lain yang jauh daripada mangsa serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik sebagai guru dan tidak pernah berdepan kesalahan sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan Haslina diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 28 Oktober ini.

BBerkaitan

Latest articles