PAS Sabah Gesa Marhamah Berundur Jika Kaitan NAM Disahkan

KOTA KINABALU: PAS Sabah menuntut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berundur daripada jawatan sekiranya siasatan pihak berkuasa agama mengesahkan dakwaan mengaitkannya dengan fahaman New Age Movement (NAM).

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata dakwaan itu perlu diputuskan menerusi penelitian berasaskan bukti dan penilaian pihak berautoriti agama, bukannya berdasarkan persepsi semata-mata.

Katanya, sekiranya penglibatan atau sokongan terhadap fahaman berkenaan dibuktikan, Marhamah wajar meletakkan jawatan dan jika enggan, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Jawatan dalam portfolio hal ehwal agama membawa amanah besar, khususnya dalam memastikan kesucian akidah serta kepercayaan masyarakat Islam terhadap institusi kepimpinan agama terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul laporan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun dengan Marhamah berhubung dakwaan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat dan ajaran NAM.

Sesi berkenaan turut disertai Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM serta pihak berkaitan, menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee.

Aliakbar berkata kemunculan pelbagai kandungan berkaitan kerohanian di ruang digital, termasuk yang disampaikan atas nama motivasi dan pembangunan diri, perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda.

Beliau turut menegaskan kepentingan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah sebagai panduan umat Islam di negeri itu.

Pada masa sama, PAS Sabah menggesa kerajaan negeri, institusi agama dan pendidikan serta masjid dan ibu bapa memperkukuh pendidikan akidah bagi membendung pengaruh fahaman yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam.

“PAS Sabah tidak mahu isu ini dijadikan ruang untuk menabur fitnah. Namun, apabila sesuatu pelanggaran dibuktikan, tindakan yang tegas perlu diambil.

“Perkara ini perlu dijelaskan, penelitian mesti diselesaikan dan pihak yang memegang amanah perlu bertanggungjawab,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles