KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dijangka mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu kedua Oktober ini.
Sumber memaklumkan, pengunduran Loke daripada Kabinet dijangka membuka ruang kepada beliau untuk memberi tumpuan lebih besar terhadap pengurusan parti serta persiapan DAP menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut sumber, keputusan itu dilihat sebagai langkah bagi membolehkan Loke memberi fokus kepada kepentingan dan hala tuju DAP selepas beliau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meninggalkan Kabinet.
“Anthony Loke seorang yang berjiwa besar. Beliau perlu ‘pergi’ untuk menyelamatkan nama DAP.
“Beliau perlu fokus kepada DAP dan persiapan parti menghadapi PRU-16,” demikian memetik laporan MalaysiaGazette.
Sumber itu berkata, surat berkenaan dijangka diserahkan dalam tempoh kurang dua minggu lagi, selaras dengan pendirian Loke yang telah diumumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dikatakan berkemungkinan memangku portfolio Menteri Pengangkutan sekiranya Loke meninggalkan Kabinet.
Bagaimanapun, pelantikan itu hanya bersifat sementara sehingga kerajaan mengenal pasti individu yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan.
Steven, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, ketika ini mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sumber sama turut menjangkakan tiada rombakan besar Kabinet dalam masa terdekat, dengan sebarang perubahan dikatakan hanya akan dipertimbangkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Rombakan Kabinet hanya selepas keputusan PRN Melaka,” katanya.
Bagaimanapun, sumber itu mengingatkan bahawa perkembangan politik sukar diramal dan perancangan yang dibuat pada ketika ini masih boleh berubah mengikut keadaan semasa.
“Dalam politik hari ini, apa sahaja boleh berlaku sekelip mata. Tidak boleh rancang begitu sahaja,” katanya.
Loke sebelum ini menyatakan hasrat untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu.
Pada 23 September, beliau mengesahkan keputusan itu dan memaklumkan surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Anwar selepas kepulangannya dari China.
Anwar sebelum ini menyatakan harapan supaya Loke mempertimbangkan semula keputusan tersebut, selain mahu bertemu dengan Setiausaha Agung DAP itu bagi membincangkan perkara berkenaan.










