Anwar: Kerajaan Akur Keputusan Agong, Tetapi Rasuah Tetap Tidak Boleh Dikompromi

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan menghormati dan akur dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung isu pengampunan bersyarat membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Namun, beliau menegaskan kedudukan itu tidak bermakna kerajaan perlu berdiam diri daripada menyatakan pandangan atau memberikan nasihat berdasarkan undang-undang, prinsip negara hukum dan kepentingan negara.

Anwar berkata, pendirian kerajaan dalam memerangi rasuah kekal tegas dan tidak akan berubah, termasuk terhadap sebarang perbuatan mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi.

“Bila kita bincang soal kontroversi berhubung kes Najib, saya akur dengan semangat Perlembagaan, tetapi ia tidak menghalang, umpamanya seorang perdana menteri memberikan pandangan dan nasihat berdasarkan hukum, undang-undang.

“Apa nak kita sampaikan? Negara ini tidak boleh tolak ansur dengan rasuah dan amalan ‘sakau’ wang negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan, malam tadi.

Anwar turut mengaitkan pendirian itu dengan beberapa isu membabitkan institusi negara yang pernah menjadi perhatian awam, termasuk Lembaga Tabung Haji, Felda dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, mana-mana individu yang mengambil kekayaan negara untuk kepentingan peribadi perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya.

“Tabung Haji, Felda, 1MDB, orang yang ‘menyakau’ kekayaan, harus menjawab. Jadi apa juga keputusan, tidak harus beralih untuk menyelamatkan negara kita,” katanya.

Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk antara lain kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64.

Sekiranya mana-mana syarat tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan sebelum ini menegaskan keputusan pengampunan itu adalah dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip negara hukum.

Majlis hari ini turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Lebih 2,000 anggota Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hadir pada majlis berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles