Tragedi Nepal: 55 Waris Dipanggil Ke Wisma Putra

PUTRAJAYA: Wisma Putra menjadi tumpuan pagi ini apabila waris kepada 55 mangsa insiden banjir di Nepal hadir bagi mendapatkan maklumat terbaharu mengenai nasib ahli keluarga mereka.

Sesi taklimat khas yang berlangsung secara tertutup itu melibatkan beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengesahan identiti mangsa, operasi mencari dan menyelamat serta kebajikan waris.

Waris mula hadir seawal jam 9 pagi sebelum dibawa masuk ke kawasan ditetapkan secara terkawal.

Hanya dua waris terdekat yang berdaftar bagi setiap mangsa dibenarkan memasuki lokasi berkenaan.

Sekitar jam 9.30 pagi, kumpulan waris dilihat memasuki ruang legar utama Wisma Putra untuk mengikuti taklimat susulan yang disampaikan pihak berkuasa.

Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khusus Malaysia (SMART), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kimia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Taklimat kali kedua itu dipercayai memberi penjelasan mengenai perkembangan operasi terkini, termasuk proses pengurusan mangsa serta bantuan dan kebajikan yang disediakan kepada keluarga terlibat.

Sebelum ini, waris telah diberi penerangan berkaitan pengambilan sampel DNA daripada ahli keluarga terdekat bagi membolehkan proses padanan dan pengesahan identiti mangsa dilakukan.

Kawalan keselamatan di sekitar Wisma Putra turut diperketatkan sepanjang sesi berkenaan, manakala petugas media diarahkan menunggu di kawasan yang disediakan.

Sebarang perkembangan rasmi mengenai tragedi itu dijangka dimaklumkan pihak berkuasa selepas sesi taklimat kepada waris selesai.

BBerkaitan

Latest articles