‘Saya Tak Campur’ – Anwar Tegaskan Kedudukan Raja Mesti Diputus Ikut Perlembagaan

PENDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mencampuri kemelut berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian untuk diselesaikan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.

Tegasnya, kedudukan institusi beraja tidak boleh diputuskan secara sewenang-wenangnya kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang menetapkan batas serta proses tertentu bagi sebarang tindakan terhadap seseorang Raja.

“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.

“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Anwar Ibrahim, malam tadi.

Anwar berkata, usaha untuk menurunkan atau menggulingkan seseorang Raja bukan perkara yang boleh dilakukan dengan mudah kerana ia tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan serta proses undang-undang yang ditetapkan.

“Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sendiri mempunyai batas yang digariskan oleh Perlembagaan, termasuk dalam perkara berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” katanya.

Menurut Anwar, prinsip Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan supaya institusi beraja tidak terhakis akibat tindakan yang tidak mematuhi kerangka undang-undang.

“Kalau Raja ini kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem Raja akan pupus di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan juga tidak wajar dilihat hanya dari sudut pertikaian politik kerana ia menyentuh asas sistem pemerintahan negara.

Anwar turut menyeru semua pihak supaya menyelesaikan kemelut berkenaan melalui perbincangan secara baik dan tidak membiarkan perbezaan pandangan atau sentimen menyebabkan pertimbangan diketepikan.

“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana?

“Ini masalah kita kerana faktor kebencian, geram… soal perbezaan ini yang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang siuman,” katanya.

Kemelut institusi diraja Negeri Sembilan sebelum ini tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan berpandangan bahawa teguran Perdana Menteri sebelum ini dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan kerajaan negeri dalam isu berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles