Anthony Loke Kekal Mahu Letak Jawatan Menteri

HANGZHOU: Pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kekal tidak berubah meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau mempertimbangkan semula keputusan itu.

Loke menegaskan beliau sudah membuat keputusan dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar sebaik sahaja kembali ke tanah air dari China.

“Keputusan sudah dibuat, akan serahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri sekembalinya ke tanah air,” katanyaringkas ketika ditemui media setibanya di Hangzhou hari ini.

Pendirian itu sekali gus menunjukkan hasrat pengunduran Loke daripada Kabinet masih diteruskan walaupun Anwar sebelum ini memberi ruang kepadanya untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban kini mengiringi Anwar dalam lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan kerajaan China.

Beliau sebelum ini menawarkan diri untuk berundur susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani di bawah tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu. Bagaimanapun, Loke menjelaskan peletakan jawatannya hanya membabitkan beliau, manakala menteri dan timbalan menteri DAP lain akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru berhubung tawaran peletakan jawatan Loke kerana masih belum berpeluang berbincang secara terperinci dengannya.

“Saya beri ruang, saya tak mahu terburu-buru dan gopoh kerana saya hormat keputusan dia,” kata Perdana Menteri ketika ditemui media dalam perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou menaiki kereta api berkelajuan tinggi.

Anwar turut berharap Loke menilai semula keputusan berkenaan serta menegaskan DAP tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak tertentu yang mahu parti itu keluar daripada kerajaan sehingga menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Anwar, beliau memahami pendirian Loke dan DAP yang sejak awal mengambil pendirian tegas berkaitan isu kleptokrasi serta rasuah, sekali gus menyebabkan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung Najib sukar dipertahankan dari sudut prinsip parti itu.

BBerkaitan

Latest articles