Bekas Presiden Majlis Peguam Desak Hentikan Tindakan ‘Gugat’ Institusi Raja N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Tindakan yang didakwa mencabar kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, perlu dihentikan segera kerana ia dikatakan boleh menggugat keluhuran Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Seramai 10 bekas Presiden Majlis Peguam dalam satu kenyataan bersama menegaskan sebarang usaha untuk menyingkirkan pemerintah negeri itu mesti mematuhi sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), termasuk prosedur yang ditetapkan bagi perkara berkenaan.

Kenyataan itu ditandatangani Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, K Ragunath, Lim Chee Wee, Christopher Leong, George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah, yang kesemuanya merupakan bekas Presiden Majlis Peguam.

Menjelaskan lebih lanjut, mereka mendakwa tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 16 September lalu seolah-olah cuba mengetepikan kedudukan Tuanku Muhriz tanpa proses sewajarnya, termasuk siasatan dan peluang untuk baginda didengar.

Menurut mereka, Artikel 10 UUTKNS menetapkan tiga syarat khusus bagi proses penyingkiran pemerintah, antaranya keperluan mengadakan “siasatan penuh dan lengkap” oleh Undang Yang Empat bagi menentukan sama ada wujud alasan sah dan mencukupi.

“Berdasarkan laporan media, tiada bukti bahawa siasatan sedemikian pernah dijalankan. Tiada pertuduhan atau alasan salah laku didedahkan kepada umum dan yang paling penting, Tuanku Muhriz didakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan atau diberi peluang untuk menjawabnya,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mempersoalkan dakwaan bahawa satu siasatan telah dijalankan, terutama apabila dakwaan berkenaan dikemukakan kemudian tanpa penjelasan sama ada Tuanku Muhriz dimaklumkan atau diberi ruang untuk didengar.

Selain itu, mereka membangkitkan persoalan terhadap kesahihan proklamasi bertarikh 19 April yang dikaitkan dengan proses berkenaan.

Menurut mereka, Artikel 10 turut menetapkan proklamasi perlu dibuat dengan tandatangan Undang Yang Empat bersama Menteri Besar.

Proklamasi berkenaan sebelum ini didakwa dinafikan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, manakala Menteri Besar ketika ini, Datuk Seri Ismail Lasim, dilaporkan menyatakan beliau menandatanganinya di bawah tekanan serta telah membuat laporan polis.

“Sekiranya proklamasi itu bertarikh 19 April tetapi hanya ditandatangani Ismail pada 3 Ogos, timbul persoalan asas mengenai kesahihannya kerana beliau bukan Menteri Besar pada 19 April,” kata mereka.

Mereka turut mendakwa Exco tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar secara unilateral dan sebarang tindakan sedemikian, jika benar berlaku, perlu tertakluk kepada penelitian undang-undang.

Dalam pada itu, mereka berkata kesahihan proklamasi berkenaan telah dipersoalkan oleh Dewan Keadilan dan Undang serta turut mendapat pendirian daripada Jabatan Peguam Negara.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga dikatakan mengambil pendirian yang sama dan tidak meneruskan proses pewartaan proklamasi tersebut.

Sehubungan itu, kesemua bekas Presiden Majlis Peguam berkenaan menggesa kerajaan Negeri Sembilan, penjawat awam dan rakyat menghormati UUTKNS serta Perlembagaan Persekutuan dalam menangani kemelut berkenaan.

Mereka turut meminta Kerajaan Persekutuan mengambil langkah untuk menyelesaikan isu berkenaan yang disifatkan mempunyai implikasi besar terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

“Kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan dan semua pihak, termasuk Exco, tertakluk kepada undang-undang.

“Perbezaan tafsiran serta pertikaian berkaitan perkara ini perlu diselesaikan mengikut undang-undang dan saluran institusi yang sewajarnya,” kata mereka.

BBerkaitan

Latest articles