Pengampunan Bersyarat Najib: Ehsan Raja Bukan Layanan Istimewa – Omar Mustapha

KUALA LUMPUR: Keputusan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak tidak wajar disifatkan sebagai satu bentuk layanan istimewa, sebaliknya ia adalah manifestasi ehsan serta kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Langkawi Parti Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha menyatakan rasa syukur atas perkenan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, berserta syarat-syarat ketat termasuk pembayaran denda RM50 juta, sambil mengingatkan bahawa Najib bukanlah pemimpin pertama yang menerima ehsan daripada Institusi Diraja.

“Layanan istimewa yang mana? Beliau telah didakwa, dibicarakan, disabitkan dan dipenjarakan. Beliau telah berada di penjara sejak 23 Ogos 2022.

“Pengampunan bersyarat yang diberikan sekarang pula bukan membatalkan sabitan beliau. Ia membolehkan baki hukuman dijalani di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, tindakan mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah tidak wajar kerana peruntukan tersebut jelas termaktub dalam sistem Raja Berperlembagaan negara.

“Jangan pula apabila beliau dihukum kita kata itu kedaulatan undang-undang, tetapi apabila Raja menggunakan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, tiba-tiba kita kata itu layanan istimewa,” tegasnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Omar turut menyentuh mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan menegaskan bahawa isu tersebut tidak seharusnya dikaitkan dengan naratif perkauman atau dianggap sebagai “skandal Melayu”, memandangkan jenayah dilakukan oleh individu dan bukan sesuatu kaum.

Beliau turut mengulangi pendirian menolak sebarang bentuk pendakwaan terpilih, sambil membangkitkan persoalan mengenai individu lain yang turut dikaitkan dalam skandal berbilion ringgit itu tetapi masih belum dibawa ke muka pengadilan.

“Skandal ini begitu besar, takkan akhirnya Najib seorang sahaja yang kena dakwa? Kalau ada orang lain yang merancang, mengawal akaun atau membantu melaksanakan penyelewengan itu, mengapa mereka sehingga sekarang tidak turut dibawa ke muka pengadilan?” soal beliau.

Bagaimanapun, beliau menghormati proses perundangan yang telah berjalan dan menyerahkan baki kes mahkamah yang masih ada kepada saluran undang-undang yang sah, manakala kes-kes lain yang belum selesai akan terus dipantau.

Omar menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi, khususnya pelbagai isu pembangunan di Langkawi.

“Yang belum selesai, dan yang menjadi tumpuan saya, ialah urusan orang Langkawi: peluang ekonomi dan pekerjaan, kemudahan kesihatan, pendidikan, feri dan penerbangan, serta khazanah laut dan hutan kita. Masa depan Langkawi menjadi keutamaan saya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles