Bekas Timbalan Pengurus TH Properties Didakwa Salah Guna RM14,000

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, didakwa bersubahat dalam kes pecah amanah membabitkan kutipan penalti RM14,000 daripada sebuah kontraktor projek pembinaan milik Lembaga Tabung Haji (TH).

Tertuduh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dazuki Ali, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd, Mohamad Hashim Mukhatap, 53, dengan menyebabkan wang RM14,000 hasil kutipan penalti terhadap kontraktor, Kelpile Sdn Bhd, dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohamad Hashim.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018 di Sofea Residensi, Seksyen 12, di sini.

Wang berkenaan dikaitkan dengan penalti bagi projek cadangan pembinaan dan penyiapan sebuah bangunan komersial 22 tingkat di Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.

Projek terbabit merangkumi 244 pangsapuri perkhidmatan, empat pangsapuri eksklusif atau penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan serta kemudahan berkaitan.

Tengku Kamarolhisham didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, TH Properties merupakan anak syarikat TH, manakala THP Timur Sdn Bhd pula adalah anak syarikat TH Properties.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan, mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.

Fahmi memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya kini bekerja sendiri berpendapatan sekitar RM5,000 sebulan, selain perlu menyara enam anak.

Peguam itu turut memaklumkan tertuduh mempunyai masalah kesihatan membabitkan kencing manis dan penyakit jantung.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan dan tidak mengganggu mana-mana saksi.

Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles