KUALA LUMPUR: Tafsiran berhubung kuasa dan tempoh perkhidmatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak boleh dibuat secara terpisah, sebaliknya perlu diteliti berdasarkan keseluruhan kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah, berkata perbahasan mengenai isu berkenaan perlu mengambil kira hubungan antara Perkara 38 dan Perkara 40, termasuk peruntukan berkaitan peranan Menteri Besar serta kuasa Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, Perkara 38 menetapkan struktur dan pelantikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk anggota Exco yang dilantik Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.
Katanya, Perkara 38(4) pula memperincikan kedudukan Exco sekiranya Menteri Besar tidak lagi memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Perkara 40 menetapkan prinsip umum bahawa dalam melaksanakan fungsi di bawah Perlembagaan Negeri atau undang-undang, Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak menurut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tertakluk kepada pengecualian yang dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Perkara 40(2) pula menyenaraikan fungsi tertentu yang boleh dilaksanakan menurut budi bicara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Armand berkata, justeru persoalan mengenai kuasa terhadap anggota Exco tidak wajar disandarkan hanya kepada frasa seperti ‘atas perkenan’ atau ‘atas nasihat’ tanpa melihat keseluruhan peruntukan yang berkaitan.
Sebaliknya, katanya, Perkara 38 dan 40 perlu dibaca secara bersama bagi memahami struktur serta mekanisme pemerintahan eksekutif negeri berkenaan.
“Dalam keadaan Menteri Besar masih memegang jawatan dan mempunyai kepercayaan majoriti Dewan, persoalan mengenai pelantikan serta kedudukan anggota Exco perlu dilihat dalam konteks peruntukan yang memberikan peranan khusus kepada Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri masih kekal,” katanya.
Dalam pada itu, Armand menegaskan pihaknya menghormati kedudukan serta prerogatif Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap tindakan dan keputusan berkaitan pentadbiran negeri perlu berpaksikan Perlembagaan, undang-undang serta prinsip keluhuran perlembagaan.
“Perbezaan tafsiran undang-undang hendaklah diselesaikan melalui saluran perundangan dan institusi yang sewajarnya, bukan melalui polemik politik semata-mata,” katanya.










