Najib Masih Di Penjara Kajang, Peguam Teliti Cara Penuhi Syarat RM50 Juta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak masih kekal di Penjara Kajang meskipun mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kenyataan bagi pihak bekas Perdana Menteri itu berkata, pelaksanaan tahanan rumah bergantung kepada pematuhan syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta kepada mahkamah.

“Sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang,” menurut kenyataan itu.

Menurut peguam, sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan keupayaan Najib memenuhi syarat pembayaran berkenaan sebahagiannya bergantung kepada perkara di luar kawalannya.

“Anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas keputusan pengampunan bersyarat itu.

Pengampunan berkenaan membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Najib turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan serta ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) atas sokongan yang diberikan.

Beliau juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat berkenaan, namun tidak mahu mana-mana pihak berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya.

Najib turut memohon agar privasi keluarganya dihormati serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus mendoakannya.

BBerkaitan

Latest articles