Semua Pihak Wajib Hormati Proses Pengampunan Najib – UMNO Pahang

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang menggesa semua pihak menghormati proses permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak mendahului keputusan yang tertakluk kepada proses serta tatacara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan hari ini, badan perhubungan itu berkata perbahasan mengenai permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri berkenaan perlu dilakukan secara tertib, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, rakyat perlu memahami bahawa proses mahkamah, pelaksanaan hukuman penjara dan pengampunan adalah perkara berbeza dalam kerangka undang-undang serta Perlembagaan negara.

“Mahkamah menjalankan proses perbicaraan, menentukan sabitan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang. Institusi penjara pula melaksanakan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah.

“Sementara itu, pengampunan merupakan suatu proses perlembagaan yang berasingan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Perkara 42 sememangnya menjadi peruntukan Perlembagaan yang berkaitan kuasa pengampunan, termasuk dalam konteks pengampunan bagi Wilayah Persekutuan.

UMNO Pahang berkata, permohonan pengampunan bukan suatu perbicaraan semula atau rayuan tambahan di mahkamah dan tidak bertujuan mengambil alih fungsi badan kehakiman.

Sehubungan itu, parti berkenaan menegaskan tindakan memohon pengampunan bagi Najib tidak bermaksud UMNO menolak keputusan mahkamah.

Menurut kenyataan itu, menghormati keputusan mahkamah dan menggunakan proses pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan adalah dua perkara yang boleh berjalan serentak dalam kerangka undang-undang negara.

Pada masa sama, UMNO Pahang memandang serius tindakan sesetengah pihak yang didakwanya secara terbuka mendesak supaya permohonan pengampunan Najib tidak diperkenankan.

Menurutnya, kenyataan yang seolah-olah menetapkan keputusan sebelum proses berkenaan selesai boleh dilihat sebagai tekanan awam terhadap pelaksanaan kuasa pengampunan.

Justeru, UMNO Pahang menyeru semua pihak menghormati peranan mahkamah dalam menentukan sabitan dan hukuman, memahami pengampunan sebagai proses perlembagaan yang berasingan serta tidak mendahului atau cuba mendesak keputusan dalam proses berkenaan.

Parti itu turut menyeru semua pihak menjaga kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

“UMNO akan sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai tonggak kedaulatan dan kestabilan negara,” menurut kenyataan bertarikh 16 September itu.

BBerkaitan

Latest articles