‘Ada Pegawai JKOM Perangai Macam Orang Gila Pasal Isu Baja, Padi’

​KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said menyelar tindakan pihak tertentu khususnya membabitkan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal berhubung isu pengagihan baja kepada pesawah.

​Menurut Mohd Zaidi, isu kelewatan bekalan baja padi di sesetengah kawasan amat menyusahkan pesawah, namun naratif yang dimainkan oleh pegawai penerangan pihak berkenaan di media sosial menggambarkan sebaliknya.

​”Orang gila ini tidak semestinya ada kat Hospital Bahagia sahaja. Kawan saya bekas Ketua Pemuda Sik, Saudara Mahadir, saya terbaca komen dia di Facebook… kalau nak tengok orang gila hari ini, kita boleh tengok dekat pejabat JKOM pun ada.

​”Pasal apa? Adakah patut, padi dah nak masak, baja baru sampai? Lepas itu dia boleh keluar posting ‘40,000 petani bersyukur kerana baja telah selamat sampai’.

​”Nanti padi dah nak potong dah, orang dah nak mengerat dah… baja baru sampai hampa (kalian) kata orang bersyukur apa? Ambil baja itu kena kambus (timbus) lah. Hak itu yang kata hari ini gila ini macam-macam gila, itu pun kategori gila juga,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, pihak penentang dan jentera propaganda mereka mempunyai rangkaian pasukan media sosial berbayar yang ramai untuk membentuk persepsi serta memburuk-burukkan pemimpin.

​Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa UMNO kini lebih bergantung kepada jentera sukarela dan penyampaian maklumat secara berhemah.

​”Mereka ada rangkaian geng posting, geng komen hak (yang) berbayar ini ramai. Kita ini, UMNO ini kita lebih bergantung kepada sukarela sahajalah.

​”Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan, kita sedia maklumlah… hari ini kita mengambil pendekatan tak perlu beria sangat (secara berlebihan).

​”Kita mendapat respons yang positif secara semula jadi, tak perlu bayar pun kepada komentar-komentar dalam Facebook semua, alhamdulillah. Tapi depa (mereka) bayar untuk memburukkan pemimpin-pemimpin kita,” tegas beliau.

​Dalam pada itu, Mohd Zaidi turut menyentuh mengenai senario politik semasa yang disifatkannya semakin mengelirukan sehingga rakyat mula berasa letih dengan percaturan politik tanah air.

BBerkaitan

Latest articles