KUALA LUMPUR: UMNO tidak mahu lagi terperangkap dalam kerjasama politik Melayu-Islam yang bermusim atau sekadar mengambil kesempatan, malah parti itu menegaskan ia tidak akan membiarkan pengalaman buruk lalu berulang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sebarang kerjasama perlu berteraskan keikhlasan, kepentingan strategik politik Melayu-Islam, bersifat fleksibel serta tidak menjadikan UMNO terikat atau terhutang budi kepada mana-mana parti.
“UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu-Islam dan kita sukar melupakan pengalaman itu, selain enggan ‘diperbudakkan’ sekali lagi.
“Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya. Penyatuan politik Melayu boleh berlaku pada bila-bila masa dan dalam apa-apa keadaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam ini.
Mohamad berkata, kerjasama berkenaan mesti dinaungi UMNO dan berpaksikan visi ‘Rumah Bangsa’, dengan UMNO kekal sebagai asas, tiang seri serta payung kepada kesatuan Melayu.
Tegasnya, UMNO tidak memerlukan perikatan politik baharu dan akan terus bersama Barisan Nasional (BN), selain mengekalkan kebebasan membuat keputusan berdasarkan perhitungan politik sendiri.
“Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan bertindak sesuai perhitungan politiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan ahli UMNO supaya tidak cepat terpesona dengan kemenangan kecil kerana cabaran lebih besar dan rumit sedang menanti parti.
Katanya, pengalaman kemenangan besar pada PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022 tidak menjamin kejayaan apabila UMNO kemudian tewas teruk pada PRU15 serta PRN enam negeri pada 2023.
Justeru, beliau menyeru ahli supaya bermuhasabah, merendah diri dan berani mengakui kelemahan parti untuk diperbaiki.
“Janganlah kita terpesona dengan kemenangan yang sedikit, sedangkan cabaran yang lebih besar dan rumit sedang menanti,” katanya.
Mohamad turut menegaskan UMNO sentiasa terbuka kepada usaha menyatukan orang Melayu merentasi parti dan ideologi, namun setiap kerjasama mesti mempunyai kejelasan matlamat, hala tuju dan kepentingan.
“Percayalah, sesiapa pun datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, kita akan menyambutnya dengan berlapang dada tetapi kerjasama mestilah ada kejelasannya,” katanya.










